KUALA PENYU: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah-BN (GRS-BN) hari in melancarkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai inisiatif mengeluarkan rakyat luar bandar daripada kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk golongan terbabit.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelancaran Rumah Mesra SMJ amat bermakna kepada pihaknya berikutan ia juga bertepatan dengan ulang tahun kedua pembentukan GRS-BN sebagai kerajaan negeri.
Beliau memberi jaminan kerajaan GRS-BN akan terus menggandakan usaha demi untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negeri.
“Di samping memberi perhatian kepada pertumbuhan sektor utama dan pemulihan ekonomi dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada teras kedua rancangan pembangunan iaitu modal insan dan kemakmuran rakyat yang merangkumi usaha memastikan rakyat mempunyai bumbung di atas kepala mereka,” katanya.
Ketua Menteri mengulangi bahawa Rumah Mesra SMJ yang mengamalkan konsep Projek Perumahan Miskin Tegar (PPRT) adalah untuk membantu mereka yang berada di bawah garis kemiskinan untuk memiliki rumah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rumah Mesra SMJ sempena dua tahun pentadbiran Kerajaan GRS-BN, di sini, hari ini.
Menurutnya, rumah terbabit akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri menggunakan geran khas Persekutuan bernilai RM125.6 juta yang disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) negeri pada tahun ini.
Beliau berharap setiap rumah yang bernilai RM70,000 itu akan siap mengikut tempoh yang dijadualkan.
Pada masa sama, Hajiji meminta KPLB untuk memastikan hanya penerima yang layak menerima rumah terbabit.
Sebelum majlis pelancaran rasmi itu, Hajiji melawat dua rumah model Rumah Mesra SMJ yang telah disiapkan di Kampung Kepayan Skim, Menumbok dan Kampung Bundu, Kuala Penyu di mana beliau menyampaikan kunci rumah kepada pemilik baharu.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Arifin Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Rosmadi Sulai dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Norlija Danin yang juga pengerusi penganjur.