Kerajaan GRS Berjaya Kutip Hasil RM3.83 Bilion

GRS-Setahun.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Setahun selepas memegang tampuk pemerintahan, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh berbangga apabila berjaya mengutip hasil negeri berjumlah RM3.83 bilion pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kutipan yang diperoleh itu mencapai 120 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan.

Sejak GRS mengambil alih tampuk pemerintahan, Sabah menerima RM1.25 bilion bagi pembayaran cukai jualan produk petroleum iaitu RM177.88 juta pada tahun lalu dan RM1.07 bilion dikutip setakat Ogos tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan akan sentiasa berusaha mencari sumber pendapatan baharu sebagai tambahan kepada sumber-sumber sedia ada melalui strategi percukaian, aktiviti penjanaan hasil dan pertumbuhan ekonomi bagi memastikan kerajaan mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi,

Langkah ini bagi memastikan tahap kewangan kerajaan yang kukuh antara pemboleh daya untuk mencapai objektif pembangunan di Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan RM100 juta kutipan dividen daripada badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada tahun ini. Setakat bulan ini, sebanyak RM25.72 juta sudah diterima dan sasaran RM100 juta itu dilihat mampu dicapai menjelang hujung tahun ini.

Hajiji turut melancarkan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) selaras dengan haja tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 29 Mac lalu. Yayasan ini ditubuhkan bagi membantu kerajaan negeri dalam menggerakkan agenda kebajikan untuk membantu membangunkan tahap sosioekonomi rakyat ke arah masyarakat yang sejahtera.

Tambahnya, YKS ini akan memperkasa kerjasama antara kerajaan dengan NGO, korporat dan swasta serta badan-badan lain yang bersedia untuk mencari dana dan menyalurkan sumbangan kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas.

Pada majlis itu, Hajiji, yang juga Pengerusi Pemegang Amanah YKS turut menerima sumbangan dana sumbangan GLC dan syarikat swasta yang berjumlah RM12.1 juta.

Antara yang memberi sumbangan adalah Kumpulan Sawit Kinabalu, Kumpulan Yayasan Sabah, Qhazanah Sabah Berhad, Perbadanan Pinjaman Sabah dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd. – Borneo Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top