Kerajaan Dipersoal Mengapa Tidak Benarkan Pengundi Borneo Di Semenanjung Undi Pos

undi-pos.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan mendapat kritikan segelintir pihak atas keengganannya membenarkan pengundi Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung Malaysia mengundi melalui pos.

Mereka mempersoalkan rasional saranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin kepada Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung digalakkan menukar kawasan pengundian mereka kepada tempat kediaman terbaru bagi memudahkan pengundian dalam pilihan raya.

“Ini adalah cadangan paling merepek saya pernah dengar dalam tempoh masa yang lama,” kata aktivis politik Francis Paul Siah kepada FMT.

“Ini bermaksud mereka akan menjadi pengundi Semenanjung. Ini tidak betul.”

Katanya, pengundian melalui pos, yang buat masa ini dibenarkan bagi beberapa kumpulan, patut turut dibenarkan bagi semua pengundi Borneo yang tinggal di Semenanjung.

“Kenapa pengundian melalui pos tiada dalam perancangan bagi golongan ini? Kenapa kerajaan tak boleh buat perubahan?” soalnya.

Beliau juga ingin bertanya kepada kerajaan sama ada mereka fikir warga Semenanjung yang bekerja di Malaysia Timur sanggup menukar alamat pengundian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Dewan Rakyat bulan lalu, pengundian melalui pos hanya dibenarkan bagi kakitangan dan anggota SPR, petugas media yang membuat liputan pilihan raya, kakitangan kerajaan terpilih yang bertugas semasa pilihan raya, serta anggota tentera dan polis.

Penganalisis politik Oh Ei Sun menganggap ini menghairankan, apabila segelintir penjawat awam dibenarkan mengundi melalui pos, manakala rakyat biasa yang lain tidak.

Presiden Pusat Hak Asasi Manusia Sabah Sherzali H Asli berkata, warga Malaysia Timur yang tinggal di Semenanjung berhak mengundi bagi kawasan asal mereka, bukannya dipaksa untuk mengundi di kawasan baharu.

Semasa pilihan raya umum 2018, katanya, pengundian melalui pos diperluas dengan warta kepada rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dan kepada pekerja di sembilan agensi.

“Dengan mengambil kira perkara ini, saya tidak lihat sebarang alasan mengapa pengundian melalui pos tidak boleh diperluas kepada orang Sabah dan Sarawak di Semenanjung, memandangkan Sabah dan Sarawak adalah negeri asal mereka dan mereka terkait secara azali dengan isu-isu di sana.

“Mesti ikut logik. Ini terutamanya apabila diambil kira wabak Covid-19, yang terbukti menjadi halangan besar bagi warga Malaysia Timur yang ingin balik mengundi,” katanya.

Penganalisis politik Awang Azman Pawi berkata, logik untuk memperluas pengundian melalui pos bukan sahaja kepada pengundi Sabah dan Sarawak di Semenanjung, malah rakyat Malaysia yang berada di negara-negara jiran.

“Pada saat ekonomi sedang merosot dan sumber pendapatan tidak terjamin, lebih sukar bagi warga Sabah dan Sarawak untuk pulang. Pengundian melalui pos adalah pilihan lebih baik,” katanya.

Katanya, saranan SPR menjadi penghalang kepada proses demokrasi.

“Ini seolah-olah menunjukkan ada usaha untuk menyukarkan pengundi Sabah dan Sarawak mengundi.”

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata, alternatif bagi pengundian melalui pos adalah pengundian jarak jauh.

“Ini bermaksud pengundi di luar kawasan dapat mengundi dari mana mereka tinggal dan pengiraan undi akan dijalankan di sana,” katanya.

Sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah tahun lalu, Upko mengusulkan agar SPR membuka pusat pengundian bagi warga Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Singapura.

Timbalan presidennya, Donald Mojuntin, berkata ini dapat menjadi alternatif bagi pengundian melalui pos, yang menurut SPR tidak dapat dilakukan bagi PRN.

Mojuntin memberitahu FMT, pengundian jarak jauh lazim dilakukan di seluruh dunia sejak bermulanya wabak Covid-19.

Katanya lagi, kajian Upko mengenai daftar pemilih 2019 menunjukkan bahawa lebih kurang 18%, atau lebih 200,000 pengundi Sabah, berada di luar negeri berkenaan.

Ini tidak termasuk ramai anak muda Sabah yang tidak menukar alamat kerana mereka hanya berhijrah sementara untuk bekerja atau belajar.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top