NABAWAN: Kerajaan diminta mempertimbangkan pembinaan sebuah hospital di Nabawan seiring dengan pertambahan penduduk dan kepesatan pembangunan di daerah ini.
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup ketika menzahirkan permintaan itu berkata, dengan adanya hospital tersebut penduduk di Parlimen Pensiangan dan kawasan sekitar akan berpeluang mendapat fasiliti kesihatan lengkap tanpa perlu melalui perjalanan yang jauh seperti ke Hospital Keningau.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran dan Perasmian Program Kesedaran Kanser yang julung kalinya diadakan di Daerah Nabawan di sini pada Ahad.
Terdahulu, Arthur berkata, satu pertiga kematian kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu; berat badan yang berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur- sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta pengambilan alkohol.
Katanya, pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling utama yang mengakibatkan kanser dan antara penyumbang terbesar kematian akibat kanser.
Beliau mengingatkan orang ramai terutamanya Keluarga Malaysia di Parlimen Pensiangan supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti berjogging, bermain bola sepak, badminton, berbasikal dan sebagainya sebagai langkah awal pencegahan penyakit kronik seperti kanser.
“Kerjasama pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum amat diperlukan untuk memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran dan mencegah penularan kanser di kalangan keluarga dan komuniti,” ujarnya.
Seramai lebih kurang 150 penduduk sekitar daerah Nabawan menghadiri program anjuran bersama Persatuan Sukarelawan Kanser Negeri Sabah (PSKS) dan Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan. Program yang berlangsung selama sehari itu turut menawarkan pemeriksaan kesihatan serta khidmat nasihat klinik berhenti merokok secara percuma.