KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menggesa kerajaan persekutuan dan negeri mengambil tindakan berhubung kenaikan tambang feri bagi laluan Kudat-Pulau Banggi.
Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Rahimah Majid berkata, kenaikan tambang feri itu memberi kesan serius kepada penduduk tempatan yang sudah berdepan dengan kesukaran ekonomi.
Beliau turut mengkritik keputusan unilateral yang dibuat secara mendadak oleh pengendali feri tunggal tanpa sebarang perbincangan awam.
“Pulau Banggi adalah sebuah sub-daerah di Kudat, salah satu daerah termiskin di Sabah dan ramai penduduk bergantung kepada perkhidmatan feri ini untuk perjalanan penting.
“Kenaikan tambang tanpa rundingan awam adalah tidak wajar dan membebankan komuniti yang sudah sedia tertekan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.
Beliau berkata, difahamkan bermula 1 Februari lepas, tambang bagi semua kelas penumpang telah dinaikkan sebanyak RM3, menjadikan tambang baru sebanyak RM34 untuk kelas pertama, RM29 untuk kelas kedua, dan RM26 untuk kelas ekonomi.
“Kenaikan tambang ini akan memberi kesan besar kepada keluarga berpendapatan rendah, pelajar, dan usahawan kecil.
“Kenaikan ini akan menambah beban kewangan mereka, menjadikan keperluan harian, kos pengangkutan, dan akses kepada perkhidmatan asas semakin mahal,” katanya.
Rahimah berkata, kekurangan rundingan awam dan kesan tidak seimbang terhadap golongan berpendapatan rendah adalah perkara yang perlu diberi perhatian.
“Ramai penduduk Banggi kerap ke Kudat untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital kerajaan dan kenaikan tambang ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan.
“Kebanyakan barang keperluan seperti makanan, bahan api, dan ubat-ubatan juga diangkut dari Kudat ke Pulau Banggi,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan persekutuan dan negeri digesa untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini.
“Saya mencadangkan kerajaan persekutuan menyediakan subsidi tambang sebanyak 50 peratus untuk penduduk Banggi.
“Ia sebagai langkah untuk meringankan beban mereka di samping langkah lain yang diambil oleh kerajaan persekutuan bagi mengurangkan kos pengendali feri.
“Jika kerajaan boleh memberikan subsidi 50 peratus untuk perkhidmatan feri Labuan, tidak ada sebab untuk tidak memberikan sokongan yang sama kepada rakyat Pulau Banggi yang memerlukan,” katanya. – Utusan Borneo