Kerajaan dan swasta jalin kerjasama lancar CMFS

arthur.png
Kongsi Bersama

KENINGAU: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup hari ini melancarkan Sistem Pengurusan Perladangan Berpusat (CMFS) yang merupakan program rintis pertama hasil kerjasama antara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah dengan syarikat swasta Agriculture Chemicals Sdn Bhd dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Keningau.

Menurut Arthur, Keningau merupakan lokasi pertama di Sabah yang akan menggunakan sistem tersebut.

“Fokus utama CMFS adalah untuk membantu pemantauan dalam sektor penanaman padi.

“Melalui kerjasama ini, para petani akan diterapkan dengan amalan pertanian tepat di samping mendedahkan mereka dengan teknologi, pengurusan secara agronomi serta pengunaan input yang betul,” katanya.

Beliau menyifatkan inovasi CMFS adalah selari dengan hasrat KPKM untuk membudayakan konsep Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) dan berharap agar lebih banyak lagi inovasi akan diwujudkan bagi memastikan peningkatan produktiviti dan kelestarian sektor agromakanan negara bergerak seiring dengan keperluan semasa.

KPKM mensasarkan dengan applikasi teknologi tersebut akan dapat meningkatkan purata pengeluaran hasil padi purata pengeluaran padi di kawasan Magatang dari 2.5mt/ha kepada 4-5mt/ha dan secara tidak langsung meningkat lagi pendapatan para pesawah.

Di majlis tersebut, Arthur yang juga Ahli Parlimen P.182 Pensiangan berkesempatan untuk menyampaikan Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST2024) kepada pesawah yang aktif menanam padi. Bagi BKST fasa 2, PPK Keningau telah menerima RM630,000.00 melibatkan 1,050 penerima iaitu RM600.00 untuk seorang pesawah.

Beliau turut menyeru kepada para pesawah, petani dan peladang yang masih lagi belum berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan untuk segera berbuat demikian kerana terdapat pelbagai manfaat yang boleh didapati serta diperolehi jika menjadi ahli Pertubuhan Peladang contohnya seperti kursus, bantuan baja, bantuan subsidi dan sebagainya.

Untuk rekod, seramai 2701 petani telah berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Keningau dan dianggarkan lebih kurang 200 orang petani lagi yang belum berdaftar.

Kementerian melalui Jabatan dan Agensinya sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dan kolaborasi dengan syarikat-syarikat swasta dalam menggembleng sumber dan kepakaran masing-masing untuk meningkatkan pengeluaran makanan secara tempatan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Hadir sama, Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Keningau, Alexius Paulus, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah, Hadriyani Ahmad dan seramai 150 pesawah Magatang.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top