Kerajaan Beri 110% Sokongan Kepada GRS

TSMY-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan pusat akan memberikan sokongan 110% kepada kerajaan Sabah yang kini diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, sejak GRS berjaya menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya negeri (PRN) lalu, beliau sentiasa berkomunikasi dengan Ketua Menteri Hajiji Noor bagi mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terkini negeri berkenaan.

“Sokongan kerajaan pusat kepada GRS boleh dikatakan 110%, sejak awal lagi saya berkomunikasi dengan ketua menteri kerana waktu itu belum boleh rentas negeri.

“Namun, walaupun tidak boleh datang (ke Sabah), tapi hubungan secara peribadi saya telah jalinkan untuk membolehkan Sabah diberi keutamaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam GRS di sini pada Ahad malam.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor juga Pengerusi GRS dan Pengerusi PN Sabah, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Bung Moktar Radin juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Dr Jeffrey Kitingan juga Presiden STAR Sabah, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).

GRS terdiri daripada gabungan parti komponen daripada PN, BN dan PBS.

Perdana menteri juga berkata, perjuangan  GRS belum selesai dengan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, sebaliknya baharu bermula dengan membela nasib rakyat negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata pada PRN itu beliau mendengar sendiri keluh resah rakyat yang mahukan Negeri Di Bawah Bayu itu berubah dengan pembangunan lebih baik terutama daripada segi infrastruktur dan isu kemiskinan rakyat diatasi dengan sebaiknya.

“Mereka itu (rakyat Sabah) telah meletakkan kepercayaan kepada kita…sebab itu bila kita sudah berada di sini (menjadi kerajaan negeri) jangan kita lupa amanah perlu kita pikul yang diberikan sendiri oleh rakyat kepada kita.

“Amanah ini kita pikul dengan kesungguhan sebenar-benar supaya apa diharapkan rakyat Sabah diterjemah dalam bentuk bantuan, sokongan, pertolongan, dan pembangunan dalam segala bidang,” katanya.

Muhyiddin berkata, Covid-19 telah meletakkan rakyat dalam situasi yang amat sukar untuk meneruskan kehidupan, justeru, katanya segala pertolongan kepada rakyat terjejas perlu disampaikan secara bersungguh dan dengan kadar yang segera.

Tambah beliau, Covid19 juga memberi cabaran yang luar biasa kepada kerajaan terutama untuk memberi bantuan kepada rakyat, sehubungan itu, ia perlu dihadapi dengan sebuah usaha yang amat luar biasa daripada kerajaan.

“Saya faham ia bukan sesuatu yang mudah malah amat mencabar berbanding dengan apa kerajaan pernah hadapi sebelum ini, Kerajaan Persekutuan terpaksa ambil tindakan luar biasa dengan masalah Covid-19 hampir setiap hari beri cabaran berbeza.

“Walaupun sukar tiada bahan rujukan atau pengalaman lalu sedikit sebanyak kita dapat atasi…vaksin sudah kita sampaikan, sedikit demi sedikit harapan kita untuk kembalikan kehidupan baik kepada rakyat dilaksana, sedikit demi sedikit kita urus masalah kesihatan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan juga akan memberi keutamaan dan perhatian khusus terhadap setiap permasalahan dan keperluan rakyat negeri ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top