Kerajaan Akan Kaji Cadangan Satu Pertiga Kerusi Untuk Sabah, S’wak

Azalina.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menjalankan kajian berhubung cadangan menambah jumlah kerusi Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat kepada 35 peratus.

Menurut Malaysiakini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kepada Dewan Rakyat kelmarin bahawa sebaik sahaja kajian itu selesai, ia akan dinilai oleh kabinet.

“Kajian ini dijangka mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan pindaan undang-undang terutamanya Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Azalina, cadangan itu memerlukan pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN – Beluran) yang ingin tahu jika kerajaan bercadang untuk menambahkan jumlah kerusi bagi Sabah dan Sarawak kepada 35 peratus, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Perjanjian Malaysia 1963.

Di bawah Perkara 19(1) IGC, wilayah Sarawak, Sabah dan Singapura sepatutnya mempunyai gabungan 35 peratus kerusi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, jumlah itu tidak diselaraskan. Pada September 2022, Majlis Khas Putrajaya mengenai Perjanjian Malaysia bersetuju untuk menangani perkara ini.

Semasa pilihan raya parlimen November, Pakatan Harapan berjanji untuk memastikan 35 peratus kerusi Parlimen akan diperuntukan kepada Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan Dewan Rakyat bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mempengerusikan jawatankuasa teknikal mengenai cadangan memberikan Sarawak kuasa autonomi berhubung kesihatan dan pendidikan.

Armizan menjelaskan permintaan autonomi itu adalah isu baharu yang dibentangkan pada mesyuarat sulung Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 20 Jan di Kuching.

Majlis tindakan hanya akan membincangkan perkara itu selepas jawatankuasa teknikal menyelesaikan kajian, kata Armizan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top