Keputusan UPKO Tukar Baton Kena Pada Masanya

ewon-madius.jpg

Ewon (tengah) bersama Madius (dua kanan) pada sidang media pengumuman presiden baharu parti itu di Penampang. FOTO ihsan UPKO

KOTA KINABALU: Keputusan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyerahkan jawatan presiden Upko kepada naib presidennya, Datuk Ewon Benedick sebagai tepat pada masanya, kata penganalisis.

FMT dalam laporannya hari ini memetik Dr Ramli Dollah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai berkata pertukaran kepimpinan utama Upko memberi kebaikan kepada parti itu sendiri terutama dengan situasi politik yang dilihat tidak menentu pada masa kini, selain proses dalam menjenamakan semula Upko selepas kalah teruk, pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020.

“Saya merasakan sejak keputusan buruk Upko dalam PRN 2020, ia memberikan isyarat bahawa parti itu memerlukan strategi untuk menarik semula sokongan pengundi. Oleh itu, pertukaran kepimpinan utama parti ini sebagai satu proses penjenamaan semula dan sebenarnya bagus untuk Upko sendiri terutama dalam situasi politik yang tidak pasti pada hari ini,” katanya kepada FMT.

Ramli berkata, walaupun masih muda dengan usia baru mencecah 40 tahun, Ewon dilihat mampu untuk memimpin Upko kerana mempunyai pengalaman luas dalam politik seterusnya berkeupayaan menjenamakan dan memasarkan semula parti itu dalam politik Malaysia.

Katanya, banyak perkara yang boleh dilakukan Ewon untuk Upko, namun beliau perlu memahami dengan lebih mendalam isu nasional, negeri dan kawasan mengundi.

“Dalam hal ini, beliau mungkin boleh lebih banyak memfokuskan dalam memahami isu di kawasan daerah mengundi keran lebih dekat dengan hati pengundi. Sementara itu, isu di peringkat negeri dan pusat boleh dilakukan bersama parti komponen yang lain dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Pada 28 Sept, Madius melepaskan jawatannya sebagai presiden dan mengumumkan tidak bertanding pada pemilihan parti, berlangsung pada 15 dan 16 Okt.

Katanya, ia sekali gus memberi laluan kepada Ewon yang bertanding untuk jawatan itu menjadi presiden baharu.

Dalam pada itu, lapor FMT lagi, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata keputusan Madius tidak mempertahankan jawatan presiden Upko dilihat pragmatis untuk membuka ruang kepada kepimpinan baharu. Katanya, Upko sudah mula menterjemahkan matlamat perjuangan parti yang bersifat progresif sesuai dengan misi dan visi penjenamaan parti.

“Ewon mempunyai pengalaman daripada Komulakan (Belia) Upko sehingga menjadi naib presiden dalam parti. Sudah pasti beliau mempunyai perancangan dan kepimpinan sendiri untuk kepentingan parti, dan menarik sokongan daripada pelbagai lapisan rakyat,” katanya.

Tony berkata, apa yang perlu dilakukan Ewon selepas ini adalah meneruskan teras dan ideologi perjuangan Upko serta perlu disinergikan dengan pakatan politik yang ada iaitu PH. Katanya, pendekatan yang bersifat kontemporari juga perlu diperhebatkan parti itu untuk meraih sokongan rakyat khususnya golongan muda.

Seorang lagi penganalisis dari UMS, Dr Lee Kuok Tiung pula berpendapat, cabaran utama Upko selepas ini ialah untuk mencari barisan kepimpinan baharu yang menjiwai agenda atau matlamat perjuangan parti itu.

Selain itu, katanya, Upko juga perlu meyakini dan mendapatkan semula kepercayaan penyokong mereka selepas prestasi buruk pada PRN 2020, malah perlu dilakukan segera memandangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir.

Lee turut berpendapat, tidak banyak yang dapat dilakukan Ewon untuk Upko bagi menghadapi PRU15.

“Tapi beliau boleh tampil dengan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu yang ‘impressive’ (mengagumkan). Mungkin tidak mampu terus menampakkan hasilnya tetapi barisan kepimpinan kuat akan menentukan hala tuju Upko,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top