Keputusan Tidak Benarkan Utusan, NST Buat Liputan Parlimen Perlu Dikaji Semula – SSK

SSK.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (SSK) mahu keputusan tidak menyenaraikan akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) sebagai media perdana yang boleh membuat liputan persidangan Parlimen dikaji semula.

Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, prinsip “keterbukaan” itu perlu dipraktikkan.

“Kita tidak boleh lagi seperti dulu, kita mahu kongkong pemikiran masyarakat kerana maklumat itu boleh diperolehi daripada pelbagai sudut dan pelbagai cara.

“Dalam sistem demokrasi, kita harus raihkan perbezaan-perbezaan antara kita dan tidak semestinya kita bersetuju dengan pendapat mereka tetapi tidak salah kita mendengar…yang penting laporan yang seimbang,” katanya.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika ditemuramah oleh The Malaysian Insight mengenai isu tersebut baru-baru ini.

Petikan temuramah itu dimuatnaik di media sosial Youtube semalam.

Salleh berkata akhbar Utusan dan NST merupakan dua akhbar nasional yang sudah bertapak lama di negara ini wajar diberi peluang untuk membuat liputan persidangan Parlimen.

“Kita tidak boleh memandang rendah pemikiran rakyat. Pemikiran rakyat tidak seperti dahulu.

“Kalau lah betul (Utusan dan NST tidak dibenarkan buat liputan Parlimen), ia wajarlah dikaji semua dan dibenarkan membuat liputan,” kata Salleh.

Tiga hari lepas, akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa dua akhbar tempatan iaitu Utusan Malaysia dan NST tidak tersenarai sebagai media arus perdana untuk membuat liputan laporan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang bermula Isnin ini.

Dalam jemputan media dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Rabu, sebanyak 16 agensi dibenarkan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama, Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai penyiar rasmi.

Media elektronik (TV) pula diwakili oleh TV3 dan Astro Awani.

Bagi akhbar Bahasa Melayu, ia diwakili Sinar Harian dan Berita Harian, sementara The Star dan The Sun mewakili akhbar Bahasa Inggeris.

Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban dan AFP masing-masing mewakili akhbar berbahasa Cina, Tamil dan media antarabangsa.

Media dalam talian yang turut dibenarkan membuat liputan secara fizikal di Parlimen ialah MalaysiaKini dan Malaysia Now.

Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 berlangsung selama 17 hari bermula 13 September hingga 12 Oktober depan. – Jesselton Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top