Keputusan Sertai PH Selaras Aspirasi UPKO – Ewon Benedick

ewon.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan parti itu menyertai Pakatan Harapan adalah selaras dengan aspirasi Upko yang menjadi parti berbilang kaum.

Beliau berkata, ini kerana Pakatan Harapan merupakan gabungan parti-parti politik berbilang kaum, iaitu PKR, DAP dan AMANAH.

“UPKO, selepas resolusi parti pada tahun 2019 juga menjadi parti politik berbilang kaum sepenuhnya dan keputusan menyertai gabungan parti berbilang kaum selaras dengan aspirasi parti,” katanya, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail yang mengumumkan permohonan rasmi UPKO menyertai Pakatan Harapan.

“Mesyuarat Majlis Presiden hari ini telah membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan,” katanya.

Pakatan Harapan percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju PRU15.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Pakatan Harapan kini merupakan gabungan parti berbilang kaum yang terbesar di Malaysia merangkumi parti-parti komponennya, iaitu PKR, DAP, AMANAH dan UPKO.

“Gabungan parti lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih mengandungi parti politik berasaskan suku kaum dan suku agama, sesuatu yang UPKO percaya bukan langkah ke hadapan buat negara Malaysia,” katanya.-Borneo Today

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top