KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah minggu depan akan memberi petunjuk jelas mengenai jangkaan bila Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan.
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata keputusan PRN Sabah akan mempengaruhi sentimen dan perjalanan politik di Semenanjung.
“Sekiranya PRN Sabah dimenangi GRS (Gabungan Rakyat Sabah) sudah pasti PRU dan Parlimen akan dibubarkan lebih awal. Ini akan menambah keyakinan kepada kepimpinan di Putrajaya untuk bubarkan. Tambahan pula apabila mereka ada gabungan yang disertai UMNO dan PAS,” katanya pada Program Bicara BH: Apa Orang Sabah Mahu? Implikasi Pilihan Raya Negeri kepada Politik Nasional berlangsung di Studio NSTP, di sini semalam.
Turut menjadi panel pada program itu, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar serta penganalisis politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, sikap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan UMNO sudah berubah boleh memberi sentimen positif kepada rakyat dan ia sudah pasti boleh menambahkan keyakinan pengundi kepada Perikatan Nasional (PN).
Parti mana yang menang lebih dominan di PRN Sabah akan menjadi penentu pengagihan kerusi di Semenanjung terutama yang membabitkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Sama ada BERSATU atau UMNO yang lebih dominan akan beri impak kepada politik nasional. BERSATU tanding di 19 DUN (PRN Sabah), tapi jika menang tujuh atau lima kerusi, di peringkat nasional mereka kena akur, ini menunjukkan akar umbi mahu logo BN dan UMNO. Rundingan kerusi PRU akan mengarah kepada penguasaan UMNO.
“Jika BERSATU yang menang besar dan UMNO menang sedikit, keadaan sebaliknya akan berlaku. PRN ini akan melihat parti yang dominan dan kerusi yang lebih layak untuk siapa,” katanya.
Kerajaan yang sehaluan di Sabah dan Pusat juga akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat Sabah, bukan saja menyentuh isu kebajikan sebaliknya pembangunan di negeri itu.
Sementara itu, Mohd Noor berkata, biarpun tumpuan rakyat kini terhadap gabungan BN dan PN serta Warisan Plus membabitkan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), keupayaan Parti Cinta Sabah (PCS) untuk memberi tentangan dalam PRN kali ini tidak boleh dipandang mudah.
“PCS perlu diambil kira sebab mereka bertanding di 73 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan dipimpin (Datuk Seri) Anifah Aman, tokoh politik dikenali bukan saja di Sabah tapi nasional. Saya melihat PCS juga adalah satu parti, walaupun agak baru tetapi mempunyai kesan yang besar.
“Ini dilihat daripada beberapa sudut Perikatan (Nasional), UMNO, BN telah mempunyai pengalaman lama di Sabah sejak 1994 hingga 2018. WARISAN sejak 2018 sampai sekarang. PCS parti baru yang mungkin juga pengundi Sabah ingin mencuba kali ini. Pertandingan di semua DUN menjadikan PCS dianggap sebagai satu entiti dalam PRN, …PCS tidak boleh diketepikan,” katanya.
Menjawab persoalan berkaitan isu membabitkan seorang penuntut asasi UMS, Veveonah Mosibin, beliau akui perkara dibangkitkan anak muda itu adalah masalah sebenar di Sabah yang memerlukan tindakan segera kerajaan.
“Keadaan (masalah) itu perlu disedari. Keadaan tidak sama seperti di Shah Alam, Selayang dan Kajang. Implikasi ini besar kepada politik Sabah apabila isu ini disentuh ketika PRN. Kita perlu memahami apa yang berlaku di luar bandar, yang timbul masalah adalah mahasiswa yang berada di luar bandar bukan saja internet, tapi persekitaran pembelajaran mereka,” katanya. – bharian