KOTA KINABALU: Tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang mengumumkan akan meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti adalah keputusan KDM sendiri dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Setiausaha Kerja Parti GRS, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, KDM bukanlah salah satu parti komponen GRS, maka dengan itu Pengerusi GRS iaitu Datuk Seri Hajiji Haji Noor tidak mempunyai sebarang kuasa dan kedudukan untuk menghalang atau menafikan tindakan KDM daripada bertanding dan meletakkan calon di mana-mana kerusi parlimen semasa PRU15 akan datang, termasuklah kerusi-kerusi parlimen yang akan ditandingi oleh komponen GRS mahupun Barisan Nasional (BN).
“Tindakan yang dilakukan oleh KDM tidak melanggar mahupun membelakangi GRS selaras dengan prinsip demokrasi kerana parti berkenaan bukan sebahagian daripada komponen GRS. Perlu diingat, KDM bukan hanya mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen yang berkemungkinan bakal ditandingi oleh BN, bahkan juga melibatkan kawasan yang berkemungkinan bakal ditandingi oleh GRS.
“GRS buat masa ini menumpukan segala gerak kerja untuk mempersiapsiagakan jentera pilihan raya di kesemua kawasan parlimen dalam menuju PRU15 yang akan datang.
“Kerjasama di antara GRS-BN menjadi keutamaan dan akan terus diperkuatkan di setiap peringkat dan semua kawasan parlimen bagi memastikan kemenangan dalam PRU15 akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. – Warta Oriental