Keputusan Benarkan Ziarah Aidilfitri Di Sabah, Kata MP Pembangkang

maamun-kalabakan.jpg
Kongsi Bersama

Keputusan Sabah membenarkan kegiatan ziarah Aidilfitri selama tiga hari adalah wajar, kata Anggota Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman.

Walaupun keputusan itu dilihat tidak selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri  Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu, yang melarang lawatan dan ziarah sempena Aidilfitri, namun katanya,  ini dibuat selepas melihat keadaan kes di Sabah semakin berkurangan.

“Kerajaan Sabah lihat kes makin kurang dan menurun jadi untuk benarkan ziarah itu sudah betul.

“Ia juga dibuat kerana desakan rakyat kerana dua tahun kita beraya begini jadi kerajaan Sabah buat keputusan macam ini supaya rakyat dapat sedikit keselesaan untuk menyambut Aidilfitri,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Tambahnya, dia juga yakin rakyat di Sabah sudah lebih teliti akan prosedur operasi standard (SOP) dan mula berhati-hati.

“Ziarah ini terpulang kepada yang mahu. Rakyat Sabah juga sudah lebih teliti akan SOP. Jadi jika mahu ziarah, mereka akan lebih berhati-hati. Saya yakin,” jelasnya lagi.

Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan penguatkuasaan PKP di seluruh negara bermula hari ini sehingga 7 Jun.

Antara SOP yang ditetapkan kerajaan persekutuan adalah untuk melarang sebarang rumah terbuka dan ziarah-menziarahi sewaktu Aidilfitri.

Bagaimanapun semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Sabah membenarkan aktiviti kunjung mengunjungi dan ziarah ke kubur sempena Aidilfitri sehingga hari raya ketiga.

“Sesi ziarah hari raya dihadkan dari 9 pagi sehingga 9 malam, iaitu dua jam bagi setiap 10 orang dan tuan rumah wajib menyediakan kod QR MySejahtera serta mematuhi protokol kesihatan umum.

“SOP terbaru yang dikemas kini itu akan diwartakan esok dan berkuat kuasa sehingga 7 Jun,” katanya seperti dipetik portal Sabahpost.

Untuk rekod sejak semalam, Sabah mencatatkan jumlah harian Covid-19 sebanyak 70 sejurus menjadikan kes keseluruhan sebanyak 59,073 di negeri itu.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin turut bersetuju akan langkah kerajaan negeri itu, menyatakan bahawa situasi Sabah dan Semenanjung berbeza.

Chan

“Situasi Sabah berbeza dengan Semenanjung. Kerajaan negeri (Sabah) sudah memutuskan untuk melarang bazar Ramadan dari hari pertama bulan itu.

“Indeks R di Sabah juga 0.9. Trend kes dilihat mencecah hanya dua digit. Jadi kerajaan Sabah mahu uruskan wabak dengan cara sendiri bukan semuanya ikut keputusan kerajaan persekutuan,” katanya.

Meskipun mengakui terdapat risiko keputusan membenarkan ziarah Aidilfitri namun Chan berharap rakyat Sabah mengekalkan tahap disiplin pematuhan SOP Covid-19.

“Saya ada kerisauan tentang kebenaran ziarah selama tiga hari raya. Pelonggaran SOP akan memberi harapan palsu bahawa semuanya sudah pulih.

“Saya gesa rakyat semua orang mematuhi SOP dengan ketat,” tambahnya. – Malaysiakini

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top