KOTA KINABALU: Kepulangan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dirai bak perwira walaupun digantung selepas usul membahaskan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ditolak di Dewan Rakyat.
Munirah yang tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu bersama rakan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar) disambut kira-kira 100 orang penyokong Warisan.
Dalam sambutan serba ringkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu itu, kepulangan Munirah diiringi dengan laungan ‘Sabah bangkit’.
Pada persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu, usul dikemukakan Ahli Parlimen Kota Belud itu ditolak selepas tiga kali isu sama mengenai tuntutan waris Sultan Sulu dikemukakan untuk dibahas telah ditolak oleh Yang Diperta Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Ketegasan Munirah mahu isu berkenaan dibahaskan menyebabkan beliau digantung selama dua hari daripada sesi Parlimen.
Dua hari kemudian, Azhar tampil dengan kenyataan bagi mempertahankan keputusannya untuk tidak membincangkan isu tuntutan waris Sultan Sulu iaitu tidak mahu mendedahkan strategi kepada pihak lawan mengenai usaha Malaysia menangani isu tuntutan berkenaan.
Pada Februari lalu, penimbang tara di Mahkamah Madrid, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).
Arahan pembayaran itu dikeluarkan susulan tindakan Malaysia yang didakwa gagal membayar wang pemisahan sejak 2013, iaitu selepas insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Malaysia bertindak menghentikan pembayaran wang pemisahan berjumlah RM5,300 setahun melalui peguam yang mewakili sembilan waris Kesultanan Sulu sejak 2013.