KePKAS lakar pelbagai pencapaian tahun 2024

christina-2.jpg

Christina ketika mewakili Ketua Menteri menyampaikan Anugerah Khas Ketua Menteri kepada Dr. Maklarin.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tahun 2024 merupakan tahun yang penuh dengan pencapaian bagi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar (KePKAS) serta agensi-agensi di bawahnya.

Sejak awal tahun, KePKAS melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah berusaha untuk menyambung semula penerbangan yang dihentikan semasa pandemik COVID-19 serta memperkenalkan laluan baharu.

Menterinya, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata usaha itu telah meningkatkan sambungan Sabah ke destinasi domestik dan antarabangsa.

Di peringkat negeri Christina sudah melancarkan Chatbot Careline 24/7 iaitu satu inisiatif penting STB untuk memastikan keselamatan pelancong semasa bercuti di Sabah.

“Alat digital itu direka khas untuk memberikan akses maklumat dan sokongan penting sepanjang masa.

“Chatbot ini boleh dimuat turun melalui kod imbas QR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), lokasi pelancongan, atau laman web STB,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, usaha pemuliharaan terus menjadi keutamaan dan ini terbukti dengan lanjutan memorandum persefahaman (MOU) antara Friends of Sea Turtles Education and Research (FOSTER) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah selama lima tahun untuk program pemuliharaan penyu di Pulau Libaran.

Katanya, salah satu pencapaian Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah ialah Anugerah Khas Ketua Menteri yang disampaikan kepada Pengarahnya, Dr. Maklarin Lakim.

“Taman-Taman Sabah diiktiraf sebagai Juara Global dalam Pemuliharaan, Kelestarian, dan Pemberdayaan Komuniti.

“Projek pelancongan lain yang dirancang pada tahun depan termasuk Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut dan Koridor Makanan Gajah di Kinabatangan,” katanya.

Christina berkata, pada majlis pecah tanah Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau, Ketua Menteri mengumumkan pembangunan resort 30 chalet di Taman Bukit Tawau dan sebuah jeti untuk feri pelancong dari Tawau ke pulau-pulau Semporna.

“Program Sabah Malaysia My Second Home (Sabah MM2H) juga dilancarkan secara rasmi pada tahun ini yang membolehkan peserta tinggal di Sabah dengan visa kemasukan berganda selama minimum 5+5 tahun serta membeli hartanah dengan harga minimum RM600,000.

“Industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan & Pameran (MICE) menunjukkan pertumbuhan pesat, dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menganjurkan 1,428 acara pada 2024 berbanding 1,301 acara pada 2023,” katanya.

Katanya, projek antarabangsa termasuk Kongres & Pameran Wellness Holistik Antarabangsa, Persidangan Wanita Antarabangsa dan CAFEO42 adalah satu lagi inisiatif baharu ialah penubuhan Biro Konvensyen Sabah (SCB) di bawah KePKAS.

“Dalam usaha mempromosikan Sabah di peringkat antarabangsa, STB menganjurkan kempen Explore Sabah di London semasa World Travel Mart (WTM) 2024.

“Usaha Sabah untuk mendapatkan penghapusan larangan perjalanan di pantai timur juga diteruskan. Semasa di London, Christina bertemu Pengarah Asia Tenggara dan Pasifik FCDO, Charles Hay, untuk meminta kerajaan United Kingdom menilai tahap keselamatan Sabah,” katanya.

 

Sumber: Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top