KePKAS komited promosi pelancongan kesihatan di Sabah

christina.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) kini sedang giat mempromosikan produk pelancongan berasaskan perubatan dan kesihatan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Christina Liew berkata, pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan bukanlah perkara baharu di Sabah.

Katanya, pembukaan hospital swasta pertama di negeri ini iaitu ‘Sabah Medical Centre’ telah membuka peluang kepada pelancongan perubatan di Sabah.

“Pelancong antarabangsa dari lebih 10 buah negara telah mendapatkan rawatan pelbagai jenis penyakit di SMC, sejak ia ditubuhkan.

“Dengan penubuhan Biro Konvensyen Sabah (SCB) tahun ini, saya melihat peluang besar untuk terus mempromosikan Sabah sebagai destinasi Pelancongan Perubatan, termasuk penjagaan dan rawatan kanser,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Perasmian Persidangan Kongres Saintifik Tahun Malaysia kali Ke-34, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Sabah berada pada landasan yang betul ketika ini kerana mempunyai infrastruktur perubatan yang canggih dan terbaik.

“Hospital swasta di Sabah seperti Gleneagles Kota Kinabalu, Hospital Pakar KPJ Sabah dan Pusat Perubatan Jesselton boleh menjadikan Sabah pilihan pelancongan perubatan di rantau ini.

“Saya difahamkan bahawa pesakit dari negara jiran Indonesia juga mendapatkan rawatan kardiologi intervensi dan pembedahan ortopedik di Hospital Pakar KPJ Sabah,” katanya.

Christina berkata, KePKAS juga turut menawarkan Insentif Mesyuarat, Insentif, Konvensyen, Pameran (MICE) sebagai rangsangan kepada institusi atau organisasi yang dibuat di Sabah.

“MICE adalah salah satu strategi untuk mempromosikan lagi industri pelancongan di negeri ini terutamanya selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa selepas pandemik COVID-19,” katanya.

“Justeru, saya sangat gembira jawatankuasa penganjur Kongres Saintifik Tahunan Persatuan Onkologi Malaysia (ASCOMOS) dapat memanfaatkan insentif MICE ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Onkologi Kebangsaan, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut komited ke arah menyediakan sokongan bagi memastikan penjagaan kanser berkualiti tinggi di Sabah.

Katanya, pesakit kanser mempunyai peluang untuk menerima penjagaan dan pengurusan yang terbaik di dalam negeri ini.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk memastikan perkhidmatan Onkologi disampaikan dengan tepat dan berkualiti oleh pasukan perubatan yang berkemahiran tinggi.

“Jabatan Kesihatan Awam kami juga memainkan peranan penting dalam pencegahan dan pengesanan awal kanser di negeri ini,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top