KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) memandang serius dakwaan seorang bekas pekerja wanita di Unit Perlindungan Hidupan Liar terhadap satu pernyataan di halaman Facebook yang ditulis oleh staf unit terbabit yang mengandungi unsur “gangguan seksual”.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, Jabatan Hidupan Liar (JHL) telah mengambil tindakan ke atas Dr. Senthivel K.S.S Nathan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah Bil. 225 (2) atas kesalahan di bawah peraturan 209(2)(a) dan 209(2)(b) pada 20 Oktober 2021 kerana membuat pernyataan bertulis yang bersifat gangguan seksual di halaman Facebook pada 18 Oktober 2021 lalu.
Beliau akui, perbuatan itu telah mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, berhubung satu lagi dakwaan bekas pekerja terbabit yang mengatakan wang Unit Perlindungan Hidupan Liar telah disalahguna, Jafry berkata, JHL telah meminta pencerahan daripada CEO Malaysian Palm Oil Council (MPOC) pada 8 March 2019. Menurut laporan yang diberi, pengunaan kewangan selain untuk kegunaan kerja unit itu adalah dibenarkan mengikut kebijaksanaan pegawai yang mengawal kewangan.
Walau bagaimanapun, kata Jafry, tindakan selanjutnya terhadap pegawai terlibat akan ditentukan dalam masa terdekat.
“KePKAS sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang mengambil kesempatan atau menyalahguna kuasa mereka sebagai kakitangan kerana kementerian amat mengutamakan keselamatan, kebajikan, dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi,” tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini