Kepimpinan Upko Perlu Berubah Sesuai Realiti Semasa – Ewon

ewon-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, kepimpinan UPKO perlu bermuhasabah diri dan berubah sesuai dengan realiti semasa, sekali gus memastikan parti itu terus kukuh dan relevan memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sekiranya kepimpinan parti perlu diubah, maka parti itu perlu bersiap sedia untuk berubah bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Di peringkat UPKO kita kena bermuhasabah diri dan bersedia untuk berubah. Mari sama-sama memberikan perkhidmatan terbaik yang boleh diterima oleh rakyat jelata.

“Jika pendekatan perkhidman itu perlu diperbaiki maka kita perlu ubah. Jika kepimpinan itu perlu diperbaiki maka kita perlu juga ubah,” katanya ketika berucap sempena Kaamatan UPKO Online yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UPKO Malaysia, pada Ahad.

Ewon berkata, UPKO menganjurkan Kaamatan secara online sebagai sokongan terhadap usaha memartabat dan mempertahankan warisan budaya Kadazandusun di negeri ini.

“Kita berada di bulan Mei di mana kita seharusnya merayakan Tadau Kaamatan, namun penularan pandemik covid-19 dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan sambutan ini tidak semeriah dahulu lagi.

“UPKO sebagai sebuah parti politik yang progresif menganjurkan kaamatan Secara online hari ini. Ia menunjukkan parti kita bersedia memenuhi kehendak situasi dan norma baharu berasaskan pembudayaan platform siber bagi menonjolkan warisan kebudayaan kita ini,” katanya.

Namun katanya, di sebalik sambutan Kaamatan secara maya, rakyat perlu merenung kembali perjalanan dan urustadbir kerajaan seterusnya mengambil iltizam yang perlu.

“Parti kita misalnya, adakah kita telah menuai hasil yang baik semasa pilihan raya lalu? Kita ambil iltizam supaya dapat menanam benih-benih baharu dan menuainya sebaik mungkin agar hasil tuaian kelak lebih baik daripada tahun sebelumnya,” katanya.

Ewon berkata, rakyat Sabah juga perlu bijak menilai sama ada urustadbir kerjaaan sedia ada terutamanya dalam mengurus krisis Covid-19 mencapai sasaran yang diharapkan atau sebaliknya.

“Kepada rakyat Sabah, adakah kita berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaian urustadbir kerajaan hari ini terutamanya mengurus krisis covid-19?

“Pelaksanaan Ordinan Darurat sama sekali gagal mengurus solusi kepada Covid-19. Adakah ini tuaian yang kita mahu sehingga tuaian kita seterusnya?

“Justeru rakyat perlu bersedia berubah dan pemerintah pula harus bermuhasabah diri, jika anda penyokong pemerintah bangunkan mereka agar bekerja dan mengurus negara dengan lebih baik,” katanya.

Ewon berkata, jika anda penyokong kerajaan alternatif maka bersedia lah untuk bekerja dengan lebih kuat bermula sekarang. – Jesselton Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top