Kepelbagaian Modal Insan Bantu Lonjakkan Ekonomi Sabah

hajiji-5.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pembangunan modal insan di Sabah tidak akan tertumpu pada bidang tertentu sahaja kerana negeri ini memerlukan kepelbagaian modal insan bagi melonjakkan lagi pertumbuhan ekonominya sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, untuk itu kerajaan negeri memberi keutamaan terhadap bidang pendidikan bagi melahirkan lebih ramai modal insan berdaya saing, berketerampilan dan berkualiti tinggi di negeri ini.

“Ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ yang mana modal insan antara yang diberi perhatian.

“Atas komitmen itu, kerajaan akan terus menyokong segala usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dalam meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan serta program berkaitan pembangunan modal insan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Zon Borneo 2023 di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji menegaskan, modal insan yang cemerlang dan berkualiti amat penting bagi menjayakan pelbagai dasar, agenda dan program pembangunan kerajaan seterusnya memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Kerajaan, tegas beliau, dalam usaha melahirkan generasi baharu yang cergas dan cerdas kerajaan sentiasa prihatin terhadap semua murid, termasuk memastikan mereka mendapat manfaat sepatutnya daripada program susu sekolah yang memberi kebaikan terutama kepada golongan muda.

“Justeru, Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia yang bertujuan memupuk dan menggalakkan amalan murid minum susu penuh krim, mampu menyumbang kepada kesihatan dan tumbesaran yang baik.

“Anak-anak yang cukup zat seimbang ini akan menjadi insan yang cerdas, aktif dan kreatif dan membawa kesan yang positif kepada kemenjadian murid sebagai aset negara yang berharga.

“Saya percaya, generasi yang sihat, cergas dan berilmu, memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan negara, terutama sekali di negeri ini,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top