‘Kepala botak makin licin’, Armizan harap menteri KPDN diisi segera

armizan.jpg

Datuk Armizan (gambar fail)

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Datuk Armizan Mohd Ali yang kini memangku jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berharap jawatan itu diisi segera, susulan ura-ura rombakan Jemaah Menteri yang bakal dibuat dalam masa terdekat.

Memangku jawatan itu sejak 30 Julai lalu susulan kematian Salahuddin Ayub, beliau mengakui komitmen tinggi diperlukan dan cabaran kepada kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menurutnya, cabaran itu termasuk menangani masalah bekalan beras putih tempatan (BPT) dan mengekalkan harganya supaya rakyat terus dapat menikmati makanan ruji utama terbabit tanpa terbeban.

Armizan secara berseloroh menyebut: “Sejak memangku, kepala saya yang sedia botak pun semakin licin. Rambut pun takut mahu tumbuh.

“Kita harap kekosongan menteri KPDN dapat diisi segera” katanya yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah, Sarawak Dan tugas-tugas khas) ketika berucap pada perasmian Minggu Sains dan Teknologi Dalam Pengurusan di Kundasang, Sabah, kelmarin.

Pada 27 Sept lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau masih sedang memikirkan tentang rombakan Jemaah Menteri yang bakal dibuat antaranya untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Salahuddin.

Sementara itu, Armizan berkata sebahagian besar barang keperluan makanan rakyat bergantung kepada bekalan import termasuk beras kerana negara hanya mempunyai kadar sara hidup (SSL) beras pada tahap 62%.

Katanya, keadaan itu memberi kesan kepada rakyat apabila harga beras putih import (BPI) meningkat sejak 1 Sept dan orang ramai beralih ke beras tempatan.

Bagi membantu rakyat, Armizan berkata kerajaan mengekalkan harga beras putih tempatan pada harga RM2.60 sekilogram dan memberi subsidi tambahan kepada beras import yang dijual tidak lebih RM30 bagi 10kg dalam program Jualan Rahmah.

“Untuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akses kurang kepada BPT dan harga BPT juga tidak termasuk dalam senarai kawalan harga, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga umumkan penjualan BPI pada kadar RM31 bagi setiap kampit beras 10kg di kedua-dua negeri tersebut,” katanya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top