Kenyataan Presiden SAPP bukan pendirian PN Sabah-Ronald

kiandee.jpg

DS Ronald Kiandee (Gambar fail)

KOTA KINABALU : Tiada mana-mana parti boleh menghalang parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Demikian kata Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengenai kenyataan dibuat oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee.

Pada Ahad, Teck Lee menyatakan hanya parti-parti tempatan Sabah sahaja harus bertanding pada PRN akan datang. Kenyataan itu dibuat atas kapasiti SAPP sebagai anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tanpa mengambil kira kedudukan parti itu di peringkat nasional.

Menurut Ronald, kenyataan itu tidak menggambarkan pendirian PN Sabah secara keseluruhan memandangkan SAPP adalah parti gabungan dalam PN.

Justeru, PN Sabah berpendirian Teck Lee sebagai Presiden SAPP harus tanggungjawab untuk menjelaskan pendirian parti itu kepada PN berhubung kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Teck Lee mencadangkan agar GRS meletakkan calon di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.

Malah, Teck Lee turut menegaskan bahawa tiada lagi keperluan untuk mengadakan perbincangan atau rundingan dengan parti bukan tempatan lain untuk dijadikan rakan kerjasama pada PRN nanti.

Ronald, yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri Sabah berkata, sebagai parti gabungan yang mempunyai sokongan paling tinggi dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos lalu, PN berhasrat memperkukuhkan kedudukan di negeri-negeri lain termasuk di Sabah.- UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top