KOTA KINABALU: Bekas Adun Inanam, Kenny Chua berkata, beliau akan cuba membantu parti yang baru disertainya, iaitu STAR untuk meraih sokongan di kawasan bandar, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.
Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak akan mengetepikan mana-mana rakyat di Sabah dan sebagai seorang yang berketurunan Sino-Kadazan, beliau perlu memainkan peranan untuk meraih sokongan masyarakat Cina.
“Saya sangat berterima kasih kepada STAR, terutama kepada presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang menjemput saya untuk menyertai parti itu dan saya juga mahu mengucapkan tahniah kepadanya kerana berjaya memenangi pilihan raya negeri bersama GRS.
“Berdasarkan prestasi STAR pada pilihan raya lalu, kita semua tahu rakyat Sabah, khususnya di kawasan majoriti KDM (Kadazan Dusun dan Murut) memberi sokongan kukuh kepadanya.
“Bagaimanapun, parti ini (STAR) adalah parti untuk semua rakyat Sabah dan oleh sebab itu saya mahu menggunakan pengalaman saya untuk membantu STAR mendapat sokongan lebih baik di kawasan bandar, terutama dalam kalangan masyarakat Cina,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Kenny berkata, kegagalan parti komponen dalam GRS memenangi kawasan majoriti Cina menyebabkan kuota timbalan ketua menteri mewakili kaum itu diketepikan buat pertama kalinya.
Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan GRS adalah sebuah kerajaan yang inklusif dan tidak akan mengetepikan mana-mana masyarakat.
“Saya tidak mahu menyalahkan masyarakat Cina kerana tidak mengundi GRS dan saya menghormati keputusan mereka.
“Bagaimanapun, saya yakin kerajaan negeri tidak akan membelakangkan mana-mana rakyat di Sabah, terutama dengan keadaan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya..