Keningau Diisytihar Kawasan Darurat Wabak Demam Babi Afrika

jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Daerah Keningau kini diisytiharkan sebagai kawasan wabak Demam Babi Afrika (ASF) berikutan 24 ekor babi mati akibat jangkitan ASF di Kampung Bandukan Lama baru-baru ini.

Ia menjadikan Keningau sebagai daerah ke-12 di Sabah yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, siasatan awal menunjukkan terdapat kemungkinan virus ASF di kampung tersebut dibawa oleh babi hutan.

Sebelum itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerima laporan kematian babi hutan di kawasan berhampiran kampung tersebut.

“Keningau mempunyai kira-kira 1,000 ekor babi dan semuanya berisiko terkena jangkitan kerana biosekuriti ladang/premis yang tidak sempurna.

“Oleh itu, DVS sedang giat menjalankan kempen kesedaran di daerah itu untuk menasihatkan penduduk agar tidak memindahkan babi peliharaan atau produk berasaskan babi mereka tanpa kebenaran daripada jabatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Menteri Pertanian dan Perikanan ini berkata, biarpun Sabah mempunyai 12 daerah diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF namun, dua daerah iaitu Pitas dan Kota Marudu kini diklasifikasikan sebagai ‘indeks kuning’ kerana tiada kes ASF baharu dilaporkan dalam tempoh 60 hari.

“Kementerian melalui JHV akan terus memantau perkembangan di lapangan dan melaksanakan tindakan yang perlu untuk mengekang ASF daripada menular ke ladang-ladang komersial,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jeffrey berkata, Sabah ini sedang meningkatkan persediaan mengekang penularan jangkitan rabies di sempadan Sabah-Sarawak berikutan pengisytiharan Lawas sebagai daerah melaporkan penyakit rabies pada 10 Jun lalu.

Virus itu dikesan dalam kalangan anjing liar di Bazaar Lawas yang terletak kira-kira 11 kilometer daripada Pos Kawalan Imigresen-Kuarantin-Keselamatan (IQS) Merapok-Sindumin, Sabah.

Menurutnya, sejak kes jangkitan rabies pertama dilaporkan di Serian, Sarawak pada 1 Julai 2017, Sabah sudah mula menjalankan latihan simulasi, kempen kesedaran dan vaksinasi anjing, kucing dan haiwan pembawa rabies (HPR) lain di semua pintu masuk ke Sabah.

“Kerajaan negeri turut melarang import kucing dan anjing daripada negeri jiran itu dan larangan tersebut masih berkuat kuasa sehingga kini.

“Pada tahun lalu, semua anjing dan kucing peliharaan di Sipitang sudah divaksinasi secara percuma bagi meningkatkan imuniti haiwan dan seterusnya mencegah jangkitan dalam kalangan manusia,” jelasnya.

Tambahnya, inisiatif vaksinasi percuma ini akan diperluaskan ke daerah berdekatan seperti Tenom dan Beaufort.

Mengulas  lanjut, katanya, kempen kesedaran penyakit rabies juga akan berjalan serentak dengan program outreach Covid-19 di semua daerah yang disasarkan. – BORNEO TODAY

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top