Kenapa Tiada Portfolio Kesihatan Dalam Kabinet Sabah? Ini Jawapannya…

Bung_Moktar_2020.jpg

KOTA KINABALU: Barisan penuh kabinet Sabah secara rasmi mengangkat sumpah pada Khamis lalu namun tidak ada portfolio kesihatan diberikan kepada mana-mana menteri walaupun Sabah menjadi pusat gelombang Covid-19 terbaru di negara ini.

Ketika dihubungi, timbalan ketua menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan perkara itu bagi mengelakkan pertindihan tugas kerana portfolio kesihatan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, Bung memberitahu Malaysiakini bahawa kabinet Sabah akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat yang akan diadakan pada 14 Okt.

“Kami akan membincangkan perkara itu pada Rabu depan. Kita tidak akan menambahkan menteri lain (dalam kabinet) tetapi akan memberikan portfolio ini kepada salah seorang menteri (yang ada),” katanya.

Bung, yang juga menteri kerja raya Sabah berkata portfolio kesihatan tidak diwujudkan di zaman BN seperti dilakukan kerajaan Warisan sebelum ini.

“Kami ingin memastikan tidak ada pertindihan (tugas). Tetapi rakyat tetap dijaga, ”tambahnya.

Menurut Bung, segala maklumat berkaitan Covid-19 di Sabah akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 yang baru dibentuk yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong.

Adun Tanjung Papat dari DAP, Datuk Frankie Poon merupakan menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat ketika pentadbiran kerajaan Warisan.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Menteri Hajiji Mohd Noor untuk mendapatkan respons, yang semalam disahkan positif Covid-19.

Pada 1 Okt lalu, Hajiji mengumumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 akan menggantikan Sabah Covid-19 Command Centre yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Selain pembentukan jawatankuasa baru, pelantikan menteri kesihatan yang baru bagaimanapun tidak ada disebut.

Ketika pentadbiran kerajaan Warisan, tiga kementerian baru ditubuhkan iaitu kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan dan undang-undang dan hal ehwal orang asli.

Bagaimanapun kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk kembali kepada struktur eksekutif yang digunakan ketika zaman BN.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mendakwa portfolio kesihatan telah dimasukkan di bawah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya.

“(Portofolio ini) tidak mempunyai kuasa eksekutif, jadi kami mengelompokkannya bersama.

“Maklumat yang relevan mengenai Covid-19 boleh diperoleh secara langsung dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, Shahelmey mendakwa kesihatan tidak berada di bawah portfolio beliau dan tugasnya tertumpu kepada kesejahteraan rakyat.

“Kita tunggu Rabu depan untuk menentukan skop tugas. Saya baru terima pelantikan dua hari lalu, butiran (mengenai skop tugas) belum dimuktamadkan, ”tambah Shahelmey. – Sumber: malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top