‘Kenapa Tawaran Lantikan Tetap Hanya Di Sabah, Sarawak?’

doktor-kontrak.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Tindakan sebilangan pegawai perubatan menolak lantikan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk ditempatkan di Sabah dan Sarawak bukan disebabkan lokasi penempatan.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan hari ini, mempersoalkan tindakan KKM yang hanya membuka penempatan di dua negeri itu sedangkan isu kekurangan doktor merangkumi seluruh negara.

Ia mendakwa, ada beberapa kumpulan awal pegawai perubatan yang mendapat tawaran bertugas di dua negeri terbabit dijanjikan pelbagai faedah dan manfaat sebelum ini tetapi tidak dikotakan.

“Isu yang dimainkan seolah-olah doktor kontrak menolak tawaran ini perlu ke Sabah dan Sarawak.

“Kami menegaskan ia bukan soal penempatan ke mana kami dihantar tetapi setiap negeri mengalami kekurangan doktor.

“Mengapa hanya dua negeri menjadi keutamaan dan bukan di seluruh negara?

“Dengan kesibukan memerangi pandemik dan tekanan dihadapi, tiba-tiba perlu berpindah jauh.

“Ada yang sudah sebati dengan tempat berdekatan keluarga, memiliki komitmen tertentu tetapi dipaksa merantau hanya kerana kecelaruan dasar tawaran kerajaan.

“Kerjaya doktor mempunyai bebanan tugas berat ketika ini, maka mereka mahu kekal di tempat sedia ada dengan sistem sokongan yang kuat.

“Ia bagi memastikan kesihatan mental mereka lebih terpelihara dan dapat memberi komitmen kepada tanggungjawab masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas mengenai janji ‘bulan dan bintang’ yang diberi, gerakan itu mendakwa ada pegawai perubatan dijanjikan pelbagai kelebihan termasuk mendapat perjawatan tetapi ia tidak berlaku.

Gerakan itu turut mempersoalkan mengapa penempatan di Sabah dan Sarawak tidak ditawarkan terus kepada pegawai perubatan di negeri itu.

Katanya, kumpulan pegawai Disember 2016 dan Februari 2017 didakwa tidak mendapat apa-apa perkhabaran mengenai pelantikan tetap, selain lanjutan tempoh satu tahun untuk berkhidmat ketika pandemik COVID-19.

“Sebaliknya, tawaran diberi kepada mereka yang berada di Semenanjung dan apabila menolak, ia dipertikaikan.

“Sistem pembahagian penempatan KKM dilihat tidak masuk akal,” katanya.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak turut menyangkal persepsi susulan 100 doktor menolak penjawatan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, ada antara doktor terbabit menolak tawaran itu, ada yang tidak lagi berkhidmat dengan KKM dan ada yang bukan berkhidmat sebagai pegawai perubatan namun masih dimasukkan dalam rekod penolakan.

“Data KKM seperti tidak dikemas kini, malah ada yang tidak sempat membuat keputusan kerana tempoh 48 jam yang diberi terlalu pendek untuk sesuatu yang besar bagi kehidupan mereka.

“Kenyataan Ketua Setiausaha KKM sebelum ini menimbulkan lebih banyak tanda tanya berbanding penyelesaian.-BH

Selasa lalu, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, memaklumkan hanya 200 daripada 300 pegawai perubatan yang dilantik kementerian itu untuk ditempatkan di Sabah dan Sarawak bersetuju menerima lantikan itu.

Mohd Shafiq dilaporkan berkata, pelantikan itu selaras keputusan kerajaan pada 14 Julai lalu bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak.

Katanya, KKM memandang serius isu berkenaan dan peluang pelantikan itu tidak seharusnya dilepaskan ketika doktor kontrak mengemukakan tuntutan kepada kerajaan untuk melantik mereka secara tetap. –BH

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top