Kenaikan Tiket Penerbangan: MARSIS Saran Kerajaan Sabah Contohi Sarawak

izzat-basri.jpg

Mohd Shahrul Izzat

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah disaran mencontohi Kerajaan Sarawak yang melaksanakan i-GPS (Inisiatif Graduan Pulang Sarawak), iaitu Subsidi Tambang Penerbangan Mahasiswa Anak Sarawak bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh siswa dan siswi berikutan kenaikan kadar tambang penerbangan, terutama pada musim perayaan.

Presiden Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS), Mohd Shahrul Izzat Basri, langkah itu penting memandangkan isu kenaikan harga tiket penerbangan pada musim perayaan ini telah berterusan sejak sekian lama dan merupakan beban besar kepada para siswa siswi, terutama dari keluarga B40.

“Ramai yang terpaksa memilih untuk beraya di kampus setiap tahun kerana tidak ingin menyusahkan keluarga,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut  Mohd Shahrul Izzat, di bawah i-GPS kerajaan Sarawak memberikan subsidi tambang kepada mahasiswa/I anak Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.

“Nilai subsidi yang diberikan adalah sebanyak RM300 bagi dua kali penerbangan sahaja dalam setahun, jumlah yang tentu sahaja memadai untuk meringankan beban pelajar seperti kami,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif itu menunjukkan kerajaan Sarawak cakna kepada kebajikan mahasiswa mereka yang berada di perantauan.

“Melalui i-GPS ini, mahasiswa anak Sarawak dapat memanfaatkan kegunaan i-GPS jika mereka ingin pulang ke kampung halaman semasa cuti Perayaan ataupun cuti semester,” ujarnya sambil berharap kerajaan Sabah mengambil langkah yang sama bagi menunjukkan keprihatinan dan kecaknaan kepada anak negeri yang berjuang menimba ilmu di perantauan.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top