KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan kenaikan Geran Khas Kerajaan Persekutuan untuk Sabah.
“Ia satu perkembangan yang sangat baik untuk Sabah. Bagaimanapun, rundingan masih diteruskan untuk mendapatkan 40 peratus seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
“Ia menunjukkan Kerajaan Persekutuan bersedia untuk mendengar pendapat kita. Ini adalah petanda positif,” katanya sambil menambah kenaikan empat kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta mulai tahun ini akan benar-benar memberi manfaat kepada Sabah.
“Ia pastinya akan membantu untuk menggalakkan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Menteri menghadiri mesyuarat mengenai MA63 khususnya mengenai Geran Khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui sidang video.
Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg turut hadir.