Kenaikan Harga Barang: Bantu Kerajaan Tangani Pihak Yang Ambil Kesempatan – Shahelmey

ShahelmyYahya_1598933878.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diminta untuk terus menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa bagi mengekang senario kenaikan harga barang di luar munasabah secara berleluasa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya turut menasihati orang ramai menggunakan hak mereka sebagai pengguna dengan membuat aduan atau laporan, sekiranya terdapat aktiviti berkenaan.

Jelas beliau, ini sekaligus dapat mengawal dan menyekat sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang cuba atau sedang mengambil kesempatan dalam situasi terkini, melibatkan senario kenaikan harga barang.

Tambahnya, orang ramai boleh melaporkan terus kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan seperti pemeriksaan atau penguatkuasaan segera dapat dilakukan.

“Kita berharap supaya pengguna dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat prihatin dan bertanggungjawab dalam membantu Kerajaan dengan melapor kepada pihak berkuasa (KPDNHEP).

“Ianya sekira ada terdapat kekurangan bahan keperluan harian atau ketidakpatuhan harga sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan.

“Lapor kepada KPDNHEP jika ada kesalahan seperti barang keperluan dijual melebihi harga kawalan atau sebagainya, supaya penguatkuasaan segera dilakukan untuk membendung perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam rancangan bual bicara Kami Bah Ini kelolaan RTM TV1 Sabah di Kompleks Bersepadu KKMM di sini pada Isnin.

Terdahulu, dalam rancangan tersebut, beliau turut berkesempatan berkongsi perbincangan topik mengenai perkembangan semasa terutamanya mengenai usaha progresif Kerajaan dalam mengawal kadar kenaikan harga barang untuk mengurangkan beban rakyat di negeri ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Shahelmey pada masa sama mendedahkan Kerajaan kini sedang menjalankan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang merupakan salah satu inisiatif meringankan beban dan peningkatan kos sara hidup.

“Sebelum ini, PJKM dilakukan dua kali sebulan di setiap kawasan parlimen, namun bermula bulan ini, PJKM dilaksanakan setiap bulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ia memberi peluang kepada pengguna kita untuk membeli barangan keperluan harian mereka pada harga yang lebih murah dan juga kompetitif,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diumumkan Perdana Menteri pada Rabu lalu, Shahelmey berkata, beliau menyambut baik penubuhan pasukan tersebut.

“Saya amat mengalu-alukan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini.

“Ianya agar tidak ada penyalahgunaan atau unsur-unsur mengambil kesempatan dalam situasi kenaikan harga barang yang sedang kita hadapi pada masa ini,” ujarnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top