Kenaikan Caj Bayaran Berpatutan – Christina

christina.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Kenaikan bayaran masuk di beberapa lokasi menarik di negeri ini khususnya yang melibatkan pendakian Gunung Kinabalu; bayaran masuk ke Taman Kinabalu dan Kolam Air Panas Poring sejak 1 Januari lalu dilihat tidak membebankan pengunjung khususnya pelancong asing.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, ini kerana para pelancong yang datang ke Sabah sudah tentu mahu melihat kepada alam semulajadi negeri ini.

“Mengenai kenaikan yuran caj kemasukan ke beberapa lokasi tumpuan dibawah kelolaan Taman-Taman Sabah, kita tidak mengira kepada peratusan kenaikan kerana ia melibatkan jumlah yang kecil.

“Tetapi, para pelancong yang datang ke negeri ini hanya mahu melihat alam semula jadi Sabah.  Saya tidak fikir kenaikan caj ini memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Persatuan Sumber Harapan Sabah di Dewan Hakka di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Christina berkata, pihaknya tidak menafikan bahawa terdapat aduan dari kalangan pelancong berhubung perkara demikian.

Namun katanya, pihaknya telah pun memberi kelonggaran kepada para pelancong yang sudah membeli pakej pelancongan sebelum 1 Januari akan menggunakan caj kemasukan lama.

“Manakala harga bagi pakej selepas 1 Januari pula, mereka perlu menggunakan caj baharu.  Ini dilaksanakan selepas mempertimbangkan permintaan para pemain industri termasuk daripada Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah/Labuan.

“Caj bagi pelancong tempatan pula masih dalam mencari jalan penyelesaian dan kita juga akan memberi kelonggaran sewajarnya,” katanya. – SABAH MEDIA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top