Kenaikan Bahan Kimia Pertanian, Kerajaan Digesa Campur Tangan

Datuk-Masiung-Banah.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Kerajaan Negeri dan Persekutuan digesa campur tangan mengenai harga bahan kimia untuk kegunaan pertanian yang melambung naik melebihi jangkaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, yang membuat gesaan ini berkata, tindakan pengilang dan pembekal racun rumpai dan baja yang memanipulasi harga bahan itu secara mendadak harus ditangani secara serius.

Ini berdasarkan maklumat daripada para pekebun kecil, kata beliau sejurus sebelum menghadiri Mesyuarat Penggunaan Tanah Daerah (LUC) di Jabatan Tanah dan Ukur, Batu 7, sini, semalam.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mengambil tanggungjawab serius untuk menyiasat perkara itu.

“Pengilang dan pembekal kini sedang beraksi mencari alasan menaikkan harga bahan kimia pertanian itu ketika negara sedang dilanda musibah pandemik Covid-19.

“Kenaikan harga bahan itu meningkat antara 25 peratus hingga 40 peratus sedangkan harga komiditi semakin hari semakin merundum,” jelasnya.

Masiung berkata, beliau menerima banyak aduan daripada pengusaha ladang termasuk dari kawasan yang beliau wakili di Tongod, mengatakan harga racun rumpai, baja dan bahan kimia pertanian telah meningkat melebihi jangkaan.

Menurut beliau, kenaikan harga secara mendadak bahan weedicide dan herbicide boleh menjejaskan industri berasaskan pertanian jika Kerajaan terlepas pandang.

Beliau bimbang permainan dalam industri pertanian menyebabkan kenaikan harga itu akan kekal pada tahap lebih tinggi.

“Kita berharap KPDNKK tidak menerima bulat-bulat alasan yang direka oleh pengilang dan pembekal yang mau meraih keuntungan berganda melainkan siasatan dijalankan hingga ke akar umbi,” tambah Masiung.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top