Kemunculan varian-varian baharu yang membimbangkan (VOC) amat merisaukan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala, malah ujian saringan Covid-19 juga sering mencatatkan keputusan negatif sekalipun ada pesakit sudah berada pada tahap kritikal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata varian-varian VOC itu juga merebak dengan lebih cepat dan dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi.
Katanya kebanyakan pesakit yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala seperti batuk atau demam tetapi hanya sakit sendi, berasa lemah badan, kelesuan dan hilang selera makan.
“Ada sebahagian daripada pesakit ini tidak menunjukkan gejala-gejala awal Covid-19 yang biasa seperti kehilangan deria bau atau deria rasa. Namun, varian baharu ini cepat merebak terus ke paru-paru.
“Sebilangan besar pesakit juga tidak menunjukkan gejala demam walaupun terdapat tanda-tanda radang paru-paru yang dikesan melalui imbasan X-ray,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini dilaporkan terdapat tiga varian VOC di negara ini iaitu varian Afrika Selatan (B.1.351), varian United Kingdom (B.117) dan varian India (B.1.617.1)
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri bagi mengelak dijangkiti wabak berkenaan.
Ini kerana katanya gelombang Covid-19 kali ini adalah lebih bahaya berbanding gelombang sebelumnya.
“Jangan kita lalai dan kita mesti sentiasa berwaspada. Duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting. Kita perlu amalan PKP kendiri,” katanya.
Beliau juga terus mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada pergi ke tempat-tempat sesak dan ruang sempit, sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau cecair pensanitasi.
– Bernama