KOTA KINABALU: Selepas lama menyepi daripada sebarang acara, bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman hadir pada majlis Aidilfitri anjuran Barisan Nasional (BN) Sabah, di sini, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Usaha media untuk menemu bual Musa bagaimanapun gagal selepas beliau meninggalkan majlis itu lebih awal.
Bagaimanapun, Bung ketika ditemui berkata, kehadiran Musa hanya sebagai salah seorang pemimpin yang dijemput untuk bersama menyambut majlis Hari Raya.
Ketika ditanya sama ada kehadiran Musa adalah petanda yang beliau akan kembali ke gelanggang politik, Bung menafikannya.
“Dia salah seorang pemimpin kita jadi kita jemput dia, tiada isu mengenainya…Bukan semua yang hadir di sini datang untuk bertanding (pilihan raya),” katanya.
Musa merupakan ketua menteri Sabah selama 15 tahun sebelum Warisan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 2018.
Beliau kemudian lebih banyak menyepikan diri sehingga pada penghujung Ogos 2020 apabila kembali dan cuba mengambil alih kerajaan negeri dengan mendakwa mempunyai cukup majoriti bagi menumbangkan kerajaan Warisan.
Bagaimanapun, usaha Musa gagal apabila ketua menteri ketika itu Datuk Seri Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-16 (PRN16) diadakan.
Musa kemudian tidak bertanding pada PRN berkenaan termasuk bagi mempertahankan kerusinya di Sungai Sibuga.
Sehingga kini, Musa masih ahli Umno namun tidak memegang sebarang jawatan sama ada di peringkat bahagian mahupun negeri. – FMT