Kemunculan Generasi Muda Ubah Landskap Politik Malaysia – Jahid

jahid-1.jpg
Kongsi Bersama

PAITAN: Kemunculan ramai generasi baharu dalam pilihan raya jelas menunjukkan bahawa anak-anak muda telah mengubah landskap politik di Malaysia.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, berkata, tiada yang pasti pada zaman sekarang, apatah lagi kini ramai golongan baharu termasuk anak-anak muda yang muncul menjadi penentu kemenangan parti yang lebih baik.

“Zaman ini jangan lagi ada perasaan angkuh dan mendabik dada, kononnya kita yang terbaik, sebaliknya ini kerana generasi muda juga menuntut kepada perubahan strategi untuk memancing undi mereka.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.48 Sugut Kali Ke-35 di Pentas Rakyat Daerah Kecil Paitan, dekat sini pada Rabu.

Turut hadir Ketua Penerangan PBS yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki, dan Ketua PBS Bahagian Sugut, Datuk Jublee KK Zen.

Katanya, PBS di Bahagian perlu bekerja keras menambah ahli dalam kalangan anak muda, memberi penerangan serta menerapkan falsafah perjuangan parti agar mereka kelak menjadi ahli parti yg berkualiti, berprinsip dan berintegriti.

“Bimbing anak-anak muda kita, pemuda dan wanita, berikan mereka pengetahuan dalam kepimpinan, dekati mereka dalam usaha meremajakan parti,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, dan Wakil Rakyat Tamparuli.

“Apabila ada pemimpin yang kuat, kredibiliti kuat, berimej baik dan berkualiti, sudah tentu dalam apa keadaan sekalipun kita tidak akan dipinggirkan,” katanya.

“Sugut tidak keseorangan, buktinya, ramai pemimpin parti dari beberapa Bahagian lain hari ini, telah hadir memberikan sokongan padu kepada Sugut,” katanya.

Katanya, PBS merupakan sebahagian daripada tiga gabungan parti yang telah membentuk kerajaan, dengan kata lain, PBS mempunyai ‘saham yang besar’ dalam menstabilkan kerajaan negeri hari ini.

“Kita hayati kata-kata Presiden untuk sentiasa sabar, setia dan bersatu.

“Kita akan sampaikan suara kepada pimpinan pada AGM PBS Pusat nanti, supaya kehadiran para Perwakilan semua diraikan, tidak diabaikan,” ujar Jahid lagi.

Terdahulu, Ketua PBS Bahagian Sugut, Datuk Jublee KK Zen, berkata, biar pun PBS tidak menjadi calon pada PRN-16 lalu, beliau berharap semua ahli tidak berasa kecewa dan putus asa, sebaliknya menunjukkan semangat perjuangan kepada parti. –Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top