Kemudahan, Aset Ketenteraan Ditambah Untuk Tingkat Keselamatan Sabah

hishammuddin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih banyak kemudahan dan aset tambahan ketenteraan akan disediakan di Sabah dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan di negeri ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pada masa ini, kementerian itu merancang untuk membina dua kem tentera darat baharu di Lahad Datu dan Kem Paradise, Kota Belud.

Bagi, Kem Lahad Datu, pembinaannya akan dimulakan pada tahun ini.

Pembinaan kem tentera baharu itu akan membantu meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan pantai timur dan pantai barat Sabah.

“Saya akhirnya kembali semula ke Sabah sebagai Menteri Pertahanan. Saya tak pernah lupa apa yang dilalui di Tanduo, Lahad Datu. Pada masa itu, kita berhadapan pencerobohan dan semua (aset) yang kita minta, kita dapat.

“Kita melihat ancaman terhadap Sabah sentiasa ada maka, kalau kita tidak meningkatkan perancangan bagi memastikan bumi Sabah selamat, saya percaya ramai yang cuba porak-perandakan kedaulatan di negeri ini.

“Justeru, apa yang dirancang sejak insiden di Lahad Datu akan sentiasa diteruskan dan dipertingkatkan di bawah kementerian saya,” katanya semasa majlis perasmian Stesen Udara Kota Kinabalu dan Skuadron 503 di Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar pada Jumaat.

Menurutnya, dua Pos Imbangan baharu iaitu Pos Luis dan Pos Tibow telah selesai pembinaannya pada bulan Mei dan tambahan itu menjadikan Pos Imbangan di Sabah menjadi sembilan pada masa ini.

Di samping itu, sebanyak tiga buah lagi Pos Imbangan bakal dibina masing-masing satu di Tawau serta dua di Kalabakan.

Bagi meningkatkan keselesaan anggota yang bertugas mengawal keselamatan di persisir pantai, Pos-pos Operasi Persisiran Pantai (OPP) juga telah dimuktamadkan untuk menjalani proses naik taraf. Buat masa ini, proses menaik taraf dua OPP telah pun berjalan.

“Untuk meningkatkan keberkesanan dan keupayaan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di persisir pantai Sabah, penstrukturan semula daripada sudut command and control penugasan anggota di bawah ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM telah dilaksanakan dan kini diletakkan di bawah Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2),” katanya.

Mengenai aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebanyak 20 unit Bot Tempur baharu akan diperolehi menerusi kaedah sewaan berkonsepkan GOCOM dan kesemua bot ini dijangka beroperasi mulai bulan Februari 2023.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top