Kempen Di Batu Sapi Perlu Kaedah Baharu – MMA

rsz_prof_muniandy.jpg

Malaysian Medical Association (MMA) president Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menegaskan pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah harus diteruskan meskipun banyak pihak menggesa agar ia ditangguhkan kerana peningkatan kes Covid-19.

Menurut kata pakar perlembagaan, satu-satunya keadaan pilihan raya dapat ditunda melebihi tempoh 60 hari adalah darurat.

Menyuarakan kebimbangan senada dengan orang awam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut berasakan isu mengadakan PRK tidak sepatutnya timbul buat masa ini, ketika penularan kes Covid-19 semakin buruk terutamanya di Sabah.

Namun, dalam keadaan PRK tidak dapat ditangguhkan, Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy (gambar) menegaskan kerajaan harus bertanggungjawab dan bersedia mengambil langkah ketat bagi menjalankan norma baharu.

Katanya, ujian saringan rambang perlu dilakukan bagi mengesan kes dalam komuniti sebelum bermulanya tempoh kempen.

Untuk berkempen pula, kata Subramaniam, semuanya mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kita patut hentikan mana-mana perhimpunan politik yang besar-besar atau acara yang akan menarik kedatangan orang ramai kerana kehadiran mereka boleh menjadi masalah (jangkitan).

“Lebih baik kalau kita hadkan hanya ahli politik yang bertanding di Batu Sapi sahaja yang boleh berkempen di sesebuah kawasan.

“Ahli politik lain – kalau nak berkempen – boleh, tapi melalui kenyataan media atau secara dalam talian saja,” katanya sebagaimana dilaporkan  Malaysiakini.

Kata Subramaniam, ahli politik mesti akur bahawa cara baharu berkempen adalah diperlukan dalam norma baharu ini.

Menurutnya menganjurkan ceramah dan melawat kawasan secara berkumpulan hanya akan meningkatkan risiko jangkitan dalam kalangan pengundi.

“Kita mesti belajar daripada PRN Sabah yang baru selesai bagi memastikan kesilapan dan isu yang timbul semasa (PRN) itu tidak diulangi di Batu Sapi, atau mana-mana pilihan raya yang diadakan pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham menjangka lebih banyak kes Covid-19 akan dikesan di Sabah pada minggu ini susulan gelombang ketiga wabak berkenaan yang melanda negara.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top