Kementerian siasat kes lemas babitkan pelancong China – Christina

christina-2.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri akan menyiasat kejadian seorang pelancong China yang lemas ketika menyertai Selam Skuba Pembelajaran atau Discover Scuba Dive (DSD) di Pulau Mamutik, di sini, Sabtu lalu.

Menterinya, Datuk Christina Liew, berkata pihaknya akan melakukan siasatan teliti terhadap insiden itu sejajar komitmen kementerian meletakkan keselamatan pelancong sebagai keutamaan.

“Libat urus dengan pihak-pihak yang berkuasa dan yang berkenaan akan diadakan dalam minggu ini untuk menyiasat punca kemalangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Christina berkata, kementeriannya mengambil serius dan amat sedih terhadap kes lemas mengorbankan seorang lelaki warga China yang berlaku di Taman Tunku Abdul Rahman itu ketika menyertai aktiviti DSD.

“Aktiviti ini dilakukan dalam zon rekreasi yang dikhaskan untuk aktiviti snorkeling dan berenang dengan diawasi oleh penyelamat pantai di atas pantai manakala aktiviti di bawah air dipimpin oleh divemaster.

“Pihak kementerian dimaklumkan pada hari kejadian lapan orang peserta dipimpin oleh tiga orang divemaster di pantai Pulau Mamutik.

“Seorang peserta bermasalah telah dibawa naik ke permukaan dan pantai oleh seorang divemaster, meninggalkan tujuh orang DSD yang lain dipimpin oleh dua orang divemaster sahaja di bawah air.

“Keadaan air laut ketika itu dikatakan keruh akibat cuaca yg berombak dan hujan. Di penghujung sesi selaman, hanya enam orang peserta yang naik ke pantai bersama dua orang divemaster,” katanya.

Beliau berkata, berikutan itu, pencarian seorang peserta lagi yang tercicir dilakukan sebelum ditemui di lokasi selaman, diberikan bantuan hayat, dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.10 petang.

⁠Katanya, keselamatan peserta selam skuba pembelajaran di bawah air adalah menjadi tanggungjawab divemaster yang terlatih bagi melaksanakan tanggungjawab itu.

“Ruang penambahbaikan di sini ialah bilangan dan kapasiti divemaster untuk menjaga keselamatan peserta yang baru belajar, serta kompetensi menyelam dan berenang serta disiplin dalam kalangan peserta,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top