Kementerian Perpaduan Nafi Tawar Ratusan Jawatan Kosong Guru Tabika

iklan-palsu.jpg
Kongsi Bersama

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menafikan ada membuat siaran iklan menawarkan peluang bagi mengisi ratusan kekosongan jawatan guru tabika baru-baru ini.

KPN berkata, iklan itu dikesan tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

Kementerian itu berkata, iklan yang disiarkan dalam status Facebook bertajuk “Semakan dan Permohonan Online” itu turut dikesan menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Meskipun agensi KEMAS bukan di bawah KPN, gambar wajah dan nama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique turut dijadikan sebagai hiasan utama poster, bagi memberi nilai komersial kepada iklan itu.

“Iklan tersebut mencetuskan tanda tanya besar apabila mencatatkan syarat kelayakan mengisi kekosongan jawatan tersebut terlalu rendah iaitu sekadar lepasan Pendidikan Menengah Rendah (PMR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, KPN berkata Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengesahkan pernah menyiarkan iklan jawatan kosong pada 11 Okt bagi mengisi enam kekosongan Jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29 dan Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N11 dengan empat kekosongan.

Tegasnya, kelulusan akademik sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan syarat kelayakan utama bagi pengambilan Guru Tabika Perpaduan, JPNIN.

“Dalam siaran iklan melalui Facebook Rakan Perpaduan Pahang itu, dengan jelas telah dinyatakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah calon lepasan Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institusi Pendidikan Tinggi tempatan.

“Poster mengelirukan itu telah mencatat hampir 1,000 perkongsian di laman sosial,” menurut KPN.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top