Kementerian Komunikasi tidak puas hati projek JENDELA di pedalaman Sabah, Sarawak belum siap

teo-nie-ching.jpg

Teo Nie Ching (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KULAI: Kementerian Komunikasi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kontraktor pelaksana projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih gagal menyiapkan projek itu sepenuhnya.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pihak kementerian kini kerap ‘menziarahi’ dua negeri itu bagi melihat perkembangan projek yang sepatutnya siap pada tahun 2022 itu, yang kini masih dalam tempoh lanjutan masa (EOT).

“Sekarang semua di bawah EOT… kami rasa tidak puas hati kerana sepatutnya projek ini telah siap 2022 tetapi sampai sekarang masih ada yang tidak siap lagi. Sebab itu kami selalu pergi kawasan berkenaan, untuk pastikan bahawa kontraktor beri keutamaan.

“Kami mungkin akan kenakan penalti kepada mereka iaitu ‘late delivery charges atau ‘liquidated damages’ atau kaji semula kontrak. Di dua negeri ini lebih daripada 20 peratus belum siap lagi,” katanya selepas Program Sumbangan Murid Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai di sini, pada Ahad.

Teo berkata fasa kedua JENDELA dijangka akan bermula selepas fasa pertama JENDELA berjaya disiapkan.

“Kami sedang mengkaji teknologi terkini kerana di bawah fasa satu kami mengguna pakai gelombang mikro dan fiber, tetapi untuk kawasan pendalaman penggunaan fiber tidak logik kerana jarak kawasan terlalu jauh.

“Sekarang kami buat konsep seperti di kampung Orang Asli, kita guna pakai satelit. Ini juga merupakan kaedah teknologi terbaharu yang sekarang sudah sedia ada. Jadi Kementerian Komunikasi tengah buat kajian sama ada teknologi ini sesuai untuk kita pakai terutama di kawasan pendalaman.

“Kita tahu bahawa fiber mengambil masa yang panjang. Gelombang mikro boleh guna, tetapi kalau ada kawasan berbukit-bukit pun tidak sesuai. Kami harap satelit jadi salah satu cara yang lebih berkesan dan kos efektif. Kami akan lancarkan jendela fasa dua apabila sudah bersedia,” katanya.

JENDELA dilancarkan pada September 2020 itu bermatlamat mewujudkan sambungan digital yang mantap dan mampu milik dengan liputan jalur lebar berkualiti serta menyediakan akses internet merentasi semua lapisan masyarakat di seluruh pelusuk negara.

Inisiatif fasa satu bermula 2020 hingga 2022 sudah mencapai sasaran awal iaitu capaian ke 7.74 juta premis, liputan 4G mencapai 96.9 peratus kawasan berpenduduk dan kelajuan jalur lebar 116.03 Mbps.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top