SEGAMAT: Kementerian Kesihatan menyedari masalah kemudahan kesihatan di Sabah dan Sarawak dan merancang untuk menanganinya, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata penambahbaikan itu memerlukan kerjasama antara agensi dan antara kementerian supaya ia dapat ditangani.
“Kami menyedari isu perkhidmatan penjagaan kesihatan di Sabah dan Sarawak, di mana terdapat kes pesakit perlu melakukan perjalanan jauh dan melalui pelbagai pusat pemeriksaan hanya untuk mendapatkan perkhidmatan kami,” kata Zaliha.
“Ini antara perkara yang akan terus kami perbaiki, dan kita akan meneliti setiap laporan yang dihantar kepada Kementerian,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerjanya ke Hospital Segamat di sini pada Sabtu.
Dr Zaliha berkata demikian ketika diminta mengulas kes seorang wanita warga emas meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Miri selepas gagal melalui Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sungai Tujuh, Sarawak.
Kes itu dilaporkan oleh sebuah portal berita pada 7 Dis yang memaklumkan ambulans yang membawa mangsa tidak dapat melalui pusat berkenaan kerana pintu pagar ditutup.
“Apa yang berlaku disebabkan jarak Lawas ke Miri yang jauh, dan ini adalah perkara yang akan kita perbaiki,” jelasnya.