Kementerian Akan Pastikan Sabah Kekal Status Bebas FMD – Dr Jeffrey

sakit-kuku-n-mulut.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Perikanan mengambil segala langkah berjaga-jaga bagi mengelak penyakit kuku dan mulut (FMD) yang membelenggu negara jiran Indonesia daripada merebak ke Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat berkata, Sabah telah diisytiharkan bebas FMD, status yang diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) sejak 2005.

FMD adalah penyakit yang sangat berjangkit yang memberi kesan kepada haiwan berkuku belah seperti lembu, kerbau, biri-biri, kambing dan babi.

“Sabah ketika ini sedang memerangi Demam Babi Afrika (ASF). FMD mesti dielakkan dengan apa juga cara sekalipun.

“Berikutan itu, Kementerian telah mengambil langkah segera untuk mewajibkan semua pejabat veterinar di seluruh Sabah menjalankan pemeriksaan perubatan yang rapi terhadap semua jenis ternakan yang bertujuan untuk diangkut ke daerah lain,” katanya.

Dr. Jeffrey berkata, Kementeriannya juga mahu semua pergerakan ternakan ke daerah lain hendaklah didokumentasikan menggunakan borang/sijil pergerakan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah dengan keadaan kesihatan ternakan dinyatakan dengan betul dan jelas.

Borang/sijil boleh didapati dari pejabat daerah DVS.

Selain itu, Kementerian juga akan menasihati penternak supaya mengenakan syarat bio-sekuriti yang ketat di semua ladang ternakan seperti memasang alat penyembur kenderaan, mengkuarantin pekerja asing khususnya dari negara jiran Indonesia sebelum membenarkan mereka kembali bekerja, dan melarang pengunjung luar memasuki ladang mereka.

“Pada masa ini, jangan bawa ternakan atau produk daging tambahan yang dibekalkan dari negara jiran yang dilanda FMD ke dalam ladang anda,” kata Dr. Jeffrey.

Sementara itu, Pengarah DVS Sabah, Dr. Normah Yusop menasihatkan penternak supaya berhati-hati terhadap gejala FMD dalam ternakan mereka.

Penyakit ini dicirikan oleh demam panas yang menurun dengan cepat selepas dua hingga tiga hari, lepuh di dalam mulut yang membawa kepada rembesan air liur bertali atau berbuih berlebihan dan meleleh, dan lepuh pada kaki yang boleh pecah dan menyebabkan kepincangan.

“Sekiranya anda perasan mana-mana gejala ini pada ternakan anda, sila hubungi DVS dengan segera. Kita perlu membendung jangkitan ini kerana ia berpotensi menghapuskan industri ternakan kita,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top