Kemenangan PRN Melaka Bukti Rakyat Mahu Kestabilan Politik

Bung-Melaka.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

KOTA KINABALU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah petunjuk jelas bahawa rakyat mahukan kestabilan politik di Malaysia.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, kemenangan itu juga memberikan petunjuk bahawa kesetiaan serta kepercayaan rakyat kepada BN masih utuh.

“Setakat ini dua PRN sudah kita lalui Sabah dan Melaka, dimana kita berhadapan dengan pelbagai persepsi, tomahan dan fitnah.

“Malah sebelum ini ada pihak yang melebalkan parti BN/UMNO sudah terkubur, namun hakikatnya dari dua PRN ini rakyat masih setia bersama BN yang selama ini telah terbukti berupaya mengurus kestabilan politik negara,” katanya ketika diminta mengulas kejayaan cemerlang BN pada PRN Melaka.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, kejayaan itu juga membuktikan konsep kerja berpasukan dari semua jentera parti merupakan faktor utama membantu kemenangan BN pada pilihan raya kali ini.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini, BN/UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai struktur yang lengkap, justeru kalau semua ini berfungsi dan digerakkan sudah pesti kejayaan dapat dicapai,”katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada semua calon BN dan seluruh jentera, Bung berharap kejayaan ini tidak harus mengalpakan semua pemimpin parti untuk melaksanakan tugas serta amanah yang diberikan agar terus berkhidmat membela rakyat.

Bung berkata, pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14) BN di serang dengan pelbagai persepsi dan fitnah. Perkara yang sama turut dimainkan semasa PRN Melaka, namun rakyat lebih matang memikirkanya dengan memilih parti yang boleh membawa kestabilan politik untuk  membawa kemajuan serta pembangunan jitu kepada negara.

Ketika ditanya mengenai prestasi cemarlang calon-calon muda yang ditampilkan oleh BN, Bung berkata parti telah pun melakukan proses peremajaan dan menampakkan kejayaan.

“Justeru mereka yang terpilih perlu memikul tugas serta yang diamanahkan dan sentiasa berusaha memantapkan kepimpinan diri bagi menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri ketika ditanya kemenangan BN dalam PRN Melaka memberikan keyakinan kepada BN untuk bergarak secara solo menghadapi PRU ke-15.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengulasnya tapi tidak menolak kemungkinan untuk BN bergerak sendiri menghadapi PRU akan datang.

“Pada PRN kali ini BN dicabar untuk bergerak sendirian dan hasilnya sudah kita lihat di mana ini turut memberikan keyakinan kepada BN untuk bergerak sendiri pada PRU akan datang,” katanya.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top