KOTA KINABALU: Kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Belanda terhadap rayuan kumpulan Sulu menunjukkan bahawa Sabah kekal berdaulat sebagai sebahagian daripada Malaysia, sekali gus menjadi hadiah istimewa sempena Hari Sabah dan Hari Malaysia kepada rakyat Sabah.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup, menyatakan bahawa keputusan tersebut adalah berita baik bagi seluruh rakyat Sabah.
Katanya, keputusan itu juga mengakhiri tuntutan dari Kumpulan Sulu yang Sabah tidak pernah iktiraf sejak awal.
“PBRS ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan atas komitmen serta usaha kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang serius dalam memastikan segala tuntutan oleh pihak luar terhadap Sabah dapat diselesaikan dengan segera.
“Kejayaan ini adalah hadiah istimewa kepada rakyat Sabah sempena Sambutan Hari Sabah dan Hari Malaysia 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah bahawa PBRS akan terus menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah serta Malaysia dilindungi setiap masa.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terus mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Malaysia,” ujarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan telah memperoleh kemenangan penting di Mahkamah Agung Belanda.
Keputusan tersebut berpihak kepada Malaysia dan menolak rayuan yang dikemukakan oleh kumpulan Sulu.
Katanya, keputusan Mahkamah Agung Belanda adalah muktamad dan sahih, menamatkan usaha pihak tersebut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Malaysia di Belanda.