Kemelut telah selesai, fokus bina PKR Sabah, kata Christina

christina.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: PKR Sabah menganggap krisis kepimpinannya telah selesai dengan pelantikan Datuk Mustapha Sakmud sebagai ketua baharunya, kata Datuk Christina Liew.

Mustapha, yang pelantikannya berkuat kuasa serta-merta, mengambil alih kepimpinan Datuk Dr Sangkar Rasam, yang menghadapi pemberontakan daripada 15 daripada 26 bahagian PKR Sabah dan Labuan.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR pada Ahad, yang turut menyaksikan pelantikan ADUN Inanam Peto Galim sebagai timbalan ketua.

“Sekarang (krisis sudah berakhir), kita perlu bersatu semula dan bekerjasama untuk mengukuhkan parti kita di Sabah dan bersiap sedia untuk pilihan raya (negeri) tahun depan,” kata Liew pada Isnin, sebagaimana dilaporkan The Star.

Beliau yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan Sabah, adalah ketua PKR Sabah selama hampir 20 tahun sebelum digantikan oleh Sangkar pada 2022.

Liew juga dilaporkan berkata kepimpinan PKR negeri berharap akan dapat bertemu dengan presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan ke Sabah pada Jumaat ini bagi menyempurnakan perasmian penutup Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan di Penampang.

“Terdapat begitu banyak perkara yang perlu dilakukan dan diperbaiki, ditambah pula negeri memerlukan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Jadi, kami berharap beberapa berita baik akan diumumkan untuk Sabah,” katanya.

Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, turut memberi jaminan sokongan berterusan PH Sabah kepada kerajaan negeri yang diketuai Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top