KOTA KINABALU: Kemelut dalam PKR Sabah nampaknya berlarutan apabila Timbalan Ketua Pemuda PKR Sabah, Remysta Taylor, mengecam ketua sayap parti itu dan mendakwa semua 15 ketua Pemuda bahagian tidak dibawa berbincang dalam menyatakan sokongan kepada Pengerusi PKR Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam.
FMT semalam melaporkan Remsyta membuat kecaman itu susulan tindakan Ketua Pemuda PKR Sabah, Zaidi Jatil, menyatakan parti itu menyokong sepenuhnya kepimpinan Sangkar, yang berdepan desakan untuk meletakkan jawatan kerana didakwa kepimpinannya lemah.
Remysta berkata, Zaidi tidak pernah berbincang dengan 15 ketua Pemuda bahagian.
“Kita belajar bahawa dalam politik, ada masanya lebih baik untuk diam,” katanya dalam kenyataan bersama dengan ketua Pemuda cabang.
“Beliau tidak pernah berunding dengan kami dalam pergerakan Pemuda sebelum membuat kenyataan, jadi ini bermakna beliau tidak mewakili pandangan seluruh Pemuda PKR Sabah.
“Adalah tidak adil kepada 15 ketua Pemuda Cabang jika beliau mendakwa bercakap bagi pihak pergerakan,” tegasnya.
Minggu lalu, 15 daripada 26 ketua bahagian negeri mendesak agar Sangkar meletakkan jawatan selepas mendakwa beliau tidak proaktif dan menjalankan sebarang program yang boleh mengukuhkan parti sejak menjadi ketua PKR Sabah pada Ogos 2022.
Sangkar menolak desakan itu dan menyatakan bahawa kritikan terhadap kepimpinannya telah menjejaskan perancangan bagi pilihan raya negeri seterusnya.
Ketua Wanita PKR Sabah, Noriha Yakub, juga mengeluarkan kenyataan menyokong Sangkar, yang menyebabkan beliau dituduh menyalahgunakan kuasanya oleh 15 ketua Wanita PKR peringkat cabang di negeri ini.
Remysta juga memberi amaran bahawa memihak dalam pergolakan kuasa yang sedang berlaku sekarang boleh menyebabkan perpecahan dalam parti dan berkata bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga merupakan presiden PKR, adalah orang yang paling sesuai untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Masalah apabila memihak ialah jika sesuatu perkara berlaku, ia boleh melemahkan parti kita. Saya percaya presiden kita (Anwar) tahu cara terbaik untuk menangani pergolakan kuasa,” katanya.
“Pergolakan kuasa dalam mana-mana kepimpinan politik sentiasa berlaku, tetapi kita di sayap-sayap sepatutnya memahami kedudukan kita dan melakukan tugas kita dengan mulut yang ditutup.
“Kita berisiko menjadikan keadaan lebih buruk apabila membuta tuli memihak,” katanya lagi sebagaimana dilaporkan FMT.