Kemelut PKR Sabah akan dimuktamadkan selepas Aidilfitri

Sazalye-n-Sangkar.jpg

Sazalye (kiri) dan Dr Sangkar

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kemelut PKR Sabah akan dimuktamadkan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mendengar pandangan dan luahan ketua bahagian negeri itu selepas Aidilfitri, lapor FMT.

Portal berita itu memetik Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Yahya Mat Sahri sebagai berkata nasib Ketua PKR Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam juga akan ditentukan selepas pertemuan itu.

Menurut laporan itu, Yahya memberitahu FMT biro politik PKR pusat telah mengadakan mesyuarat pada Ahad dengan dipengerusikan oleh Anwar, diikuti mesyuarat penuh MPP pusat di mana isu kepimpinan di Sabah dibincangkan.

“Selanjutnya nanti kita lihat keputusan akan dibuat presiden, kerana semua (lantikan) pengerusi negeri kuasa penuh presiden bukan proses undi tertinggi daripada ketua cabang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, mesyuarat MPP kelmarin turut memutuskan Sangkar akan terus memimpin PKR Sabah sehingga proses rundingan antara Anwar dengan semua ketua bahagian selesai.

“Buat seketika apa dinyatakan dalam MPP, Sangkar akan terus memimpin untuk melihat kepimpinan dan proses pengurusan parti di Sabah sebagai persiapan menghadapi PRN,” katanya.

FMT difahamkan Anwar dijangka ke Sabah 20 April ini.

Baru-baru ini, 15 daripada 26 ketua bahagian diketuai Sazalye Donol dari Kota Marudu menggesa Sangkar berundur secara terhormat atas dakwaan dia kurang dikenali, tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan akar umbi dan gagal mengadakan program memperkasakan PKR Sabah.

Sazalye dilaporkan berkata, mereka menyuarakan pendirian menolak kepimpinan serta hilang kepercayaan terhadap Sangkar melalui akuan berkanun.

Sangkar kemudian menolak gesaan meletak jawatan dengan berkata, kritikan terhadap kepimpinannya menjejaskan gerak kerja parti menjelang PRN dan menggesa ahli tidak membuang masa kerana pergolakan dalaman PKR Sabah bukan julung kali berlaku.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top