Kemelut Pengerusi PH Sabah: Penganalisis cadang sistem penggiliran

PH-Sabah-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah disaran supaya mengamalkan sistem penggiliran untuk jawatan pengerusinya bagi mengelakkan terjadinya konflik dalaman pada masa akan datang.

Menurut FMT dalam laporannya semalam saranan itu dibuat oleh penganalisis politik susulan keengganan PKR Sabah menerima keputusan pemilihan jawatan pengerusi PH Sabah bulan lalu.

Laporan itu memetik Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, sistem penggiliran boleh memupuk perpaduan dan rasa pemilikan bersama dalam kalangan parti komponen PH Sabah, sekiranya ia dilaksanakan dengan mekanisme yang jelas dan terstruktur.

“Memperkenalkan sistem giliran untuk jawatan pengerusi PH Sabah dalam kalangan parti komponen boleh membantu mengurangkan perebutan kuasa dan memastikan representasi yang seimbang,” katanya kepada FMT.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara Sabah pula berkata, menyelesaikan “krisis” ini memerlukan pendekatan “menang-menang” untuk mengekalkan keharmonian antara PKR dan Upko.

“Mungkin satu mekanisme baharu perlu dipertimbangkan, seperti menggilirkan jawatan pengerusi PH, terutama jika keputusan berdasarkan pemilihan terus menjadi isu yang dipertikaikan,” katanya.

Dalam pemilihan PH Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew dari PKR tewas sebagai pengerusi negeri, jawatan yang dipegangnya sejak 2017, selepas kalah kepada presiden Upko, Datuk Ewon Benedick, dengan perbezaan tiga undi.

PKR Sabah kemudiannya berhujah bahawa jawatan pengerusi seharusnya kekal dengan parti itu, berdasarkan formula yang dipersetujui dalam kalangan anggota gabungan.

Namun, ketua DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, mempertahankan pemilihan Ewon dan menafikan wujudnya peraturan yang menetapkan bahawa jawatan pengerusi PH negeri mesti dipegang oleh PKR.

Lee berkata PH Sabah perlu menumpukan pada perpaduan dan menangani isu-isu penting yang menjadi perhatian rakyat Sabah, seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“PH perlu berhati-hati memastikan isu ini tidak dimanipulasi oleh parti lawan untuk menggambarkan gabungan ini sebagai tidak stabil atau tidak memahami keperluan Sabah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan PH bahawa corak pengundian di Sabah semasa pilihan raya negeri berbeza daripada pilihan raya umum, yang memerlukan strategi setempat.

“Pertikaian dalaman seperti ini boleh mengukuhkan persepsi bahawa PH, sebagai entiti nasional, tidak sepenuhnya memahami atau menghormati sensitiviti politik tempatan,” katanya.

Dalam PH Sabah, DAP mengetuai dengan empat kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti PKR dengan dua kerusi, dan Upko dengan satu kerusi.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top