Kembara Kenali Borneo: Permaisuri sertai Tarian Sumirid kanak-kanak di Kundasang

TunkuAzizahAminah.jpg

Raja Permaisuri Agong berkenan menyampaikan sumbangan kepada 100 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan OKU pada Majlis Santapan Malam Bersama Rakyat Daerah Ranau. - Bernama

Kongsi Bersama

KUNDASANG: Masyarakat di daerah Ranau pada malam Selasa diberikan kejutan khas apabila Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghiburkan hadirin pada Majlis Santapan Malam Bersama Rakyat di Pentas Budaya, Kundasang di sini.

Suasana di lokasi majlis bersempena dengan Kembara Kenali Borneo itu menjadi meriah apabila Tunku Azizah berkenan turut serta menari dengan kumpulan penari kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan Lohan Ranau ketika mereka mempersembahkan Tarian Sumirid daripada suku kaum Dusun Liwan Ranau.

Kelihatan juga, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat pada majlis sama merakamkan video serta mengambil gambar semasa Tunku Azizah berada di pentas menyertai persembahan tarian tradisi masyarakat di Ranau itu.

Persembahan tarian itu kemudian turut disertai anakanda Seri Paduka iaitu Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Sorakan juga kedengaran daripada ribuan orang yang hadir ke majlis itu, malah kebanyakan mereka tidak melepaskan peluang merakamkan video sebagai kenang-kenangan.

Selepas Tunku Azizah turun pentas, kemesraan pasangan diraja itu turut disaksikan ribuan hadirin apabila Seri Paduka berdua berkenan bersama-sama menari langkah Tarian Sumirid ketika berada di bawah pentas.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut mengurniakan sumbangan kepada 100 asnaf serta berkenan menyantuni dan beramah mesra bersama beberapa hadirin dengan bersalaman serta bergambar sebelum berangkat meninggalkan majlis pada 9.30 malam.

Terdahulu, dalam perjalanan dari Telupid ke Ranau, Seri Paduka berdua bersama tiga paduka anakanda berkenaan serta paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah berkenan mengambil gambar kenangan di Jambatan Tompios berdekatan Kampung Nunuk Ragang yang dikenali dengan pemandangan cantik hijau gunung dan lembah.

Hari ini Kembara Kenali Borneo dijadual meneruskan perjalanan dari daerah Ranau menuju ke Kota Kinabalu.

Sumber: BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top