LABUAN: Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC) meminta kerajaan persekutuan mengembalikan status pulau bebas cukai penuh kepada wilayah itu untuk meningkatkan semula tarikannya bagi para pengunjung.
Presidennya, Datuk Wong Kii Yii berkata, tiada sebarang keputusan berkenaan dibuat setakat ini walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, termasuk menyerahkan surat kepada pihak-pihak berkaitan.
Malah, menurutnya, status bebas cukai yang dinikmati Labuan ketika ini tidak mampu menarik pengunjung berikutan harga barangan kekal tinggi dan kurang menarik di mata pelancong.
“Status semasa Labuan tidak menyebabkan harga barangan rendah, sekali gus dilihat sebagai kurang menarik untuk menggalakkan kehadiran pelancong,” katanya pada majlis makan malam sempena Tahun Baharu 2024.
Wong juga secara khusus menekankan keperluan seperti penjualan rokok bebas cukai yang mampu menambah daya tarikan Labuan.
“Oleh itu, LCCC meminta Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dan Ketua Umno Labuan Datuk Rafi Ali Hassan untuk memperjuangkan perkara ini dengan membawanya kepada perhatian kerajaan persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, status bebas cukai penuh itu penting dan menjadi aspek kebergantungan ekonomi Labuan dalam menarik lebih ramai pengunjung.
Selain status itu, Wong turut menekankan kepentingan menambah kekerapan penerbangan ke Labuan bagi merancakkan sektor pelancongan.
“Penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia yang terhad misalnya menjejaskan daya tarikan Labuan di mata pelancong, khususnya dari China.
“Oleh itu, LCCC berharap kerajaan dapat campur tangan bagi menangani isu itu dan berupaya memacu prospek ekonomi Labuan,” katanya. – BERNAMA