Kembalikan Pengurusan Projek Pan Borneo Kepada Kerajaan Negeri – Bung Moktar

bung-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya diharap dapat mengembalikan semula projek Pan Borneo kepada kerajaan Sabah menerusi pembentangan Belanjawan 2021 yang akan diadakan pada 6 November nanti.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keutamaan beliau ketika ini selain memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) ialah melihat pembangunan infrastruktur di negeri ini diketengahkan dalam belanjawan itu nanti.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, salah satu daripadanya adalah memohon supaya projek pembinaan lebuh raya Pan Borneo yang tergendala dapat diteruskan segera.

“JKR Sabah sedia memberikan kerjasama sepenuhnya demi memastikan kemudahan ini dapat dipercepatkan pelaksanaanya demi kepentingan rakyat di negeri ini.

“Selain itu, kerajaan negeri khususnya JKR meminta supaya kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kerjaya Raya mengembalikan segera projek Pan Borneo kepada kerajaan Negeri secepat mungkin.

“Pelantikan perunding pengurusan projek (PMC) dan sebagainya juga wajar dibincangkan bersama dengan kerajaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut berharap kerajaan dapat menyediakan dana khas untuk pelaksanaan kerja pembaikan segera seperti cerun, jalan dan jambatan yang runtuh di mana sejak akhir-akhir ini berlaku kekerapan kerosakan infratruktur itu berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selain disebabkan banjir terutama di Kota Belud.

“Peruntukan khas ini juga digunakan untuk menambah baik sistem perparitan yang sedia ada selain membina sistem perparitan yang baharu bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku khususnya di kawasan bandar Kota Kinabalu dan sekitarnya,” katanya.

Berhubung bekalan air bersih di negeri ini, Bung berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang lebih tinggi untuk tujuan itu khususnya di luar bandar di Sabah yang masih berhadapan dengan isu ketiadaan bekalan air bersih.

Sehubungan itu, Bung Moktar berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperhalusi Belanjawan 2021 yang akan dibentang nanti supaya ia adil untuk semua tanpa mengira fahaman politik dan membawa negara keluar daripada kemelut wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi sekali gus meningkatkan kemudahan infratruktur di Sabah. – Buletin Sabah

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top